Sijil nikah ibu bapa bayi ‘ditahan’ hospital sah, pemfitnah berdepan tindakan undang-undang

Oleh WAN SITI AMINAH

Peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar sudah melihat sijil perkahwinan bapa kepada jenazah bayi yang dibekukan selama 16 hari di sebuah hospital swasta iaitu Muhammad Adham Mikail.

Semakan terhadap sijil perkahwinan lelaki terbabit yang kini merupakan anak guamnya itu turut dibuat melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) yang kemudian mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam terbabit menerusi satu sesi siaran langsung di platform TikTok, semalam yang turut dihadiri oleh anak guamnya iaitu bapa kepada Muhammad Adham.

Menurut Datuk Zaharil, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang bertindak melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.

Tegasnya, mereka yang melontarkan fitnah dan tuduhan di media sosial terhadap anak guamnya diberikan tempoh tiga jam untuk menarik balik atau memadam dakwaan tersebut jika tidak mahu berdepan tindakan saman.

“Berkenaan sijil nikah anak guam, kami sudah lihat (sijil nikah). Ia satu bukti yang kukuh. Tindakan (terhadap) fitnah sedang dilakukan. Pihak yang mendakwa anak guam kami tidak bernikah, diberi tiga jam untuk padam.

“Jangan buat andaian jumud. Kami sudah kenal pasti (netizen) sama ada yang buat siaran langsung TikTok dan sebagainya. Kita akan lihat siapa yang kena,” katanya dalam siaran langsung itu.

Dalam pada itu, Datuk Zaharil memaklumkan pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan pihak hospital mengenai kes anak guamnya sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Jelasnya, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap hospital tersebut kerana membuat kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari ekoran bapanya tidak menjelaskan bil rawatan.

Walau bagaimanapun, pihaknya perlu mendapatkan hasil siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Terdahulu, Datuk Zaharil mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas menyatakan hasratnya untuk membantu ibu bapa Muhammad Adham sekiranya mereka mahu mengambil tindakan undang-undang.

Peguam yang berusia 58 tahun itu turut mempersoalkan tindakan hospital swasta kerana telah menahan mangsa selama 16 hari dan menyifatkan perbuatan tersebut salah selain mempunyai elemen jenayah.

Isu jasad bayi yang dibekukan oleh sebuah hospital swasta di Klang, Selangor itu mula menjadi topik perbincangan hangat susulan didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) dikenali sebagai Wan Cai.

Wan Cai mendakwa pihak hospital itu tidak memberikan kebenaran untuk mengeluarkan jenazah bayi bagi tujuan pengebumian malah ibu yang melahirkan anak istimewa terbabit turut ditahan selagi bil kelahiran tidak dilunaskan.

Tindakan hospital itu disifatkan tidak berperikemanusiaan malah pasukan Wan Cai yang menguruskan jenazah bayi berkenaan juga berhadapan dengan kesukaran berikutan badan mangsa sudah membeku.

Sekadar info, Muhammad Adham hanya sempat melihat dunia selama 30 minit sebelum menghembuskan nafas terakhirnya asbab dilahirkan tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan saluran lubang najis.

Baca juga: Peguam kotak pensel akan ‘live’ malam ini, bapa bayi dibeku hospital dijangka hadir bersama