Siapa sangka, seorang lelaki sanggup menahan rasa sakit dan ketidakselesaan selama setahun selepas cincin yang dipakainya bukan sahaja tidak boleh dicabut malah sudah ‘tertanam’ dalam daging jari telunjuknya.
Situasi tersebut telah menyebabkan jari telunjuk mangsa membengkak dengan teruk dan kesan lebam juga mula timbul sebelum pihak bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan cincin berkenaan.
Operasi pemotongan cincin tersebut sempat dirakamkan oleh salah seorang anggota bomba yang terlibat dalam menangani kes itu sebelum dikongsikan menerusi satu hantaran di platform TikTok.
Berdasarkan rakaman yang berdurasi satu minit 25 saat itu, operasi berkenaan dijalankan oleh sepasukan anggota bomba di Jabatan Kecemasan dan Trauma di sebuah hospital di Kuala Lipis, Kuantan.
Menurut anggota bomba terbabit, operasi pemotongan cincin yang sudah tertanam dalam daging jari itu cukup jarang berlaku bukan sahaja di negara ini malah di serata dunia.
“Khidmat khas pemotongan cincin paling ‘rare’ (jarang) di dalam dunia. Abang ini kata sudah setahun dia biarkan sahaja cincin duduk (dalam daging) macam itu. Semoga dipermudahkan urusan abang ini,” kata anggota bomba dalam perkongsian itu.
Pihak bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk memotong sebahagian daripada cincin berkenaan yang masih belum tertanam di dalam daging jari telunjuk mangsa.
Manakala lebihan cincin yang sudah tertanam diserahkan kepada pihak hospital di mana doktor akan mengeluarkannya menggunakan keadah pembedahan untuk mengelakkan sebarang komplikasi ke atas mangsa.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna merasa ‘ngeri’ melihat jari mangsa selain tertanya-tanya bagaimanakan cincin boleh tertanam di dalam daging.
Ramai pengguna juga tampil berkongsikan pengalaman peribadi yang dialami oleh mereka sendiri apabila barang perhiasan termasuklah subang tertanam di dalam kulit selepas menindik telinga.
“Cincin tak pernah, tetapi subang pernah. Ketika itu baru seminggu tindik telinga. Selepas itu, tahu-tahu sakit. Sekali tengok sudah masuk tertanam dalam isi telinga,” kongsi seorang pengguna.
“Kenapa tunggu lama sangat, tak sayang jari ke. Takut nak potong cincin sahaja tetapi tak pasal-pasal doktor cakap jari pun terpaksa potong sekali. Aduh, ngeri bang.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Pula dah…majlis agama di Indonesia penuh dengan penjaja teh ais lepas viral kes Gus Miftah