Elaun saja cecah RM3,000 tak termasuk gaji, wanita bongkar ‘lubuk’ kerja yang ramai tak tahu

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan sebenarnya masih wujud di negara ini sekiranya anak muda tidak mudah menyerah dan pintar merebut peluang.

Malah terdapat banyak majikan yang rela menyediakan pelbagai faedah di dalam bentuk elaun untuk memburu pekerja bagi menyumbangkan kemahiran di syarikat mereka.

Pendedahan tersebut dibuat oleh seorang bekas jurutera kimia yang dikenali sebagai Sarini Zainal menerusi satu hantaran tular dimuat naik menerusi akaun media sosial X miliknya.

Menurutnya, anak muda tidak seharusnya tertumpu kepada sebuah syarikat atau satu bidang sahaja untuk mendapatkan pendapatan lumayan sebagai contohnya bekerja di luar pesisir.

Sebaliknya syarikat-syarikat multinasional (MNC) lain yang kurang popular juga turut menjanjikan gaji tinggi seperti perniagaan beroperasi di sekitar Bangsar South, Kuala Lumpur.

“Jangan tertekan sangat kalau tak dapat masuk ‘lanyard’ (syarikat minyak dan gas tempatan). Banyak sahaja syarikat lain yang memberikan gaji yang lagi tinggi kepada pekerja.

“Faedah dan bonus juga lebih banyak. Tak perlu kerja di luar pesisir, elaun bekerja di luar kawasan dapat US$120 sehari. Cari syarikat MNC, macam-macam jenis ada di Bangsar South itu.

“Syarikat MNC dekat situ lain macam sedikit. Elaun bahasa asing sahaja pun sudah boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000 sebulan. Belum gaji pokok lagi itu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Dalam hantaran seterusnya, Sarini yang kini bergelar usahawan produk penjagaan kulit itu turut berkongsi panduan bagi mereka yang ingin bekerja di syarikat MNC tersebut.

Jelasnya, pencari kerja boleh mengambil inisiatif dengan meneroka sendiri kawasan terletak di Bangsar South kerana lokasi itu menempatkan banyak jenis syarikat MNC.

“Boleh naik pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) dan turunlah di stesen Kerinchi. Jalan-jalan dekat situ. Saya dulu naik motor sahaja dari Shah Alam, ronda cari kerja seorang diri. Kalau malas, buat carian di internat sahaja.

“Dekat sana (hentian LRT) ada direktori syarikat. Tulislah dalam telefon atau ambil gambar. Kemudian balik rumah, buka laman web JobStreet atau LinkedIn. Banyak sangat peluang pekerjaan sana-sini.

“Kalau masih di situ dan jumpa orang keluar masuk pejabat, tahan sahaja. Tanyalah sekiranya syarikat mereka ada kerja kosong ataupun tidak. Cubalah benda ini, serius seronok,” ulasnya lagi.

Sekadar makluman, syarikat MNC merupakan perusahaan antarabangsa yang beroperasi dan menjalankan perniagaan mereka di Malaysia.

Baca juga: Jangan jadikan anak mesin persaraan dan tuduh mereka derhaka kerana tak mampu bagi duit