“Saya cintakan negara Jepun lebih dari segala-galanya. Malah lebih daripada Malaysia,” itulah faktor pendorong yang membuatkan seorang pemuda tempatan membeli rumah berharga lebih RM800,000 di bandar Yokohama.
Menurut lelaki itu, harga yang ditawarkan sangat berbaloi memandangkan ruangan kediaman tersebut cukup besar untuk didudukinya seorang diri malah lokasinya juga agak strategik.
Kediaman yang memiliki keluasan 100 meter persegi itu difahamkan telah lama dibina iaitu pada tahun 1997 atas tanah berkeluasan 173 meter persegi namun masih kelihatan nyaman untuk diduduki.
Bukan itu sahaja, rumah tersebut juga dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu yang agak luas, ruang dapur, dua tandas dan juga satu bilik air bersama tab mandi kecil.
Perkara tersebut didedahkan oleh lelaki asal Malaysia itu dalam sesi temu bual yang muat naik di platform TikTok sebelum dikongsikan semula di laman media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
“Saya baru sahaja membeli rumah ini jadi tak perlu bayar sewa. Rumah ini terletak 26 minit dari stesen Totsuka-ku, Yokohama dengan berjalan kaki. Hari ini saya baru sahaja menyelesaikan perjanjian (pembelian rumah).
“Kontraknya telah ditandatangani dalam dua bulan lepas. Pemilik lama juga meninggalkan semua barang-barang dalam rumah ini termasuk perabot kepada saya,” katanya dalam rakaman temu bual itu.
Rakaman berdurasi satu minit 38 saat itu bagaimanapun telah menimbulkan perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan yang tidak bersetuju dengan pendapat pemuda berkenaan.
Hal ini berikutan pemuda terbabit mendakwa kediaman berharga ¥28 juta yen atau sekitar RM809,886.50 itu lebih berbaloi berbanding hartanah di Malaysia dengan nilai sama namun keluasannya lebih kecil dan sebagainya.
“Apa? Tetapi dengan duit sebanyak itu, awak boleh dapat rumah yang lebih besar di Malaysia. Malah ada baki boleh beli sebiji kereta lagi,” kata seorang pengguna yang tidak bersetuju dengan pandangan lelaki itu.
“Dekat Malaysia, rumah dengan harga mencecah sejuta ini lagi besar. Boleh dapat rumah banglo dua tingkat di kawasan eksklusif. Tetapi ‘mind-set’ lelaki ini memang nak hidup dekat negara Jepun.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Ramai ambil mudah hukum beku jenazah, ini penerangan Mufti WP paling mudah faham