Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pelanggan sedang memegang cawan plastik berisi sedikit minuman yang dipesannya dari sebuah francais restoran tempatan popular.
Mengakui merasa terkejut, pelanggan itu juga meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya apabila menerima minuman di dalam kuantiti yang sangat sedikit selepas membuat pembelian di francais berkenaan.
Walaupun mengakui memesan minuman tanpa ais dari francais berkenaan, namun wanita itu tidak menyangka bakal menerima air di dalam kadar yang begitu sedikit dan tidak seperti restoran lain.
Lebih memburukkan keadaan, wanita itu turut menerima layanan yang agak dingin daripada kakitangan francais restoran tersebut selepas bertanyakan mengenai kuantiti minuman pesanannya.
“Kali pertama beli makanan (di sini) dan pesan minuman tak nak ais tetapi dapat macam ini. Saya tanya elok-elok dekat pekerjanya. Tetapi jawaban yang saya dapat, sangat menyedihkan.
“Kakitangan restoran jawab, ‘Haa! Dapat macam itulah. Tak nak ais kan’,” kesal wanita terbabit yang memuat naik perkongsian itu menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.
Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna memahami perasaan wanita terbabit yang lebih kesal dengan layanan pekerja berbanding kuantiti minuman diterimanya.
Ramai juga pengguna yang pernah berkecimpung dalam sektor makanan dan minuman (F&B) termasuklah bekas pekerja francais berkenaan menjelaskan bahawa kuantiti air adalah sebahagian dari Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Saya bekas pekerja francais ini. Memang macam itu kalau pesan minuman yang sejuk tanpa ais. Air yang keluar dari mesin memang akan dapat banyak itu dan sangat manis. Sebab itu kena seimbangkan dengan ais,” kata seorang pengguna.
“Sebenarnya, pelanggan tak marah sangat pun apabila dapat kuantiti air yang sedikit. Tetapi dia jadi nak marah sebab cara pekerja jawab soalan.” Kongsi pengguna lain kemudian dipersetujui oleh perakam video.
Dalam pada itu, segelintir pengguna pula berpendapat bahawa pemilik premis sepatutnya lebih bertimbang rasa dengan membenarkan pekerja menambahkan air kosong dalam minuman tersebut.
Baca juga: “Macam daging batang pinang” – Netizen ‘condemn’ jual pizza harga RM100++ konon sebab wagyu