Keluarga penyanyi dikir barat tak mampu bayar RM1 juta, tolak tawaran peguam Thailand

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyanyi dikir barat Malaysia yang kini ditahan di penjara daerah Narathiwat mendakwa dua peguam dari Thailand tampil menawarkan khidmat untuk mengambil kesnya dengan bayaran 10 juta baht (lebih RM1 juta) setiap seorang.

Walau bagaimanapun, keluarga kepada penyanyi terbabit terpaksa menolak khidmat yang ditawarkan pada bulan lalu itu secara baik kerana tidak mampu membayar yuran dikenakan oleh kedua-dua peguam berkenaan.

Jelas selebriti popular itu, perkara tersebut dimaklumkan oleh ahli keluarganya dari Kelantan yang kali terakhir melawatnya di penjara berkenaan pada Khamis lalu, lapor Berita Harian.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu lagi, keluarganya kini sedang berada di dalam proses mengumpul wang selain mempertimbangkan untuk mengupah peguam lain yang juga dari Thailand.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga, dua peguam dari sini (Thailand) menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kes saya. Tetapi setiap seorang meminta saya membayar 10 juta baht (lebih RM1 juta).

“Keluarga saya tidak mampu untuk membayar yuran itu dan menolak tawaran mereka dengan baik. Saya sedar ramai yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan saya.

Tetapi keluarga saya tidak mampu untuk membayarnya. Keluarga saya kini sedang mengumpulkan wang untuk membayar peguam (lain),” katanya dalam lawatan media Malaysia di penjara itu semalam, memetik laporan Berita Harian.

Penyanyi itu memaklumkan bahawa keluarganya mula dibenarkan untuk melawat seminggu selepas dihantar ke penjara tersebut pada 4 November apabila Mahkamah Narathiwat melanjutkan perintah tahanan selama 84 hari.

Selama ditahan, dirinya bersama rakan lain menerima layanan baik semasa berada di situ dan turut menafikan berita tular mengenai keadaan serta layanan di dalam penjara Narathiwat.

“Sejak itu, mereka (keluarga) datang melawat setiap Khamis untuk melihat keadaan saya. Saya ingin katakan berita mengenai penjara Narathiwat yang tular di media sosial tidak benar. 

“Banduan Malaysia di sini dilayan sama seperti banduan lain. Saya dan rakan-rakan berada dalam keadaan baik di sini. Sebagai umat Islam, kami bebas untuk melaksanakan kewajipan kami. 

“Selain melakukan solat harian, kami juga dibenarkan melakukan solat khas setiap hari. Saya berharap akan ada keajaiban yang berlaku kepada saya,” ujarnya yang masih berharap dapat kembali diterima di industri hiburan kelak

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Setandan Pisang atau ‘Bae Soba Bae’ itu ditangkap pihak berkuasa Thailand bersama lima rakyat Malaysia lain kerana disyaki memiliki 6,000 pil di sebuah hotel di bandar Sungai Golok.

Susulan penangkapan mereka, mahkamah Narathiwat memberikan polis perintah tahanan lanjut selama 84 hari terhadap enam individu itu.

Baca juga: Tubuh kurus PU Azman sejak dipenjara jadi perhatian