Pernah viral jawab peperiksaan atas pokok, keadaan terkini Veveonah buat ramai bangga

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Veveonah Mosibin yang pernah tular tiga tahun lalu kerana kesungguhannya menjawab peperiksaan di atas pokok, kembali menjadi bualan ramai.

Mengimbas kembali kisahnya, Veveonah yang menetap di Sabah terpaksa duduk berjam-jam lamanya di atas pokok untuk mengambil ujian ‘online’ kerana kampungnya tidak mempunyai capaian internet yang kuat.

Terbaru dilaporkan, gadis berusia 23 tahun itu kini telah pun menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang sains marin dan kini bergelar pelajar perubatan di Management and Science University (MSU).

Veveonah memutuskan untuk menceburi bidang perubatan selepas melalui saat-saat sukar ketika pandemik Covid-19.

Vevonah sepatutnya dijadualkan menghadiri Istiadat Konvokesyen di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tetapi tidak dapat menghadirinya kerana sedang menjalani pengajian perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam sejak 1 Oktober lalu.

Memetik New Straits Times, pelajar itu memaklumkan dia mendapat tajaan untuk pulang ke Sabah bagi menyambut Hari Krismas, namun bagi membeli tiket penerbangan untuk menghadiri konvokesyen akan menelan kos yang tinggi.

Veveonah merupakan graduan Ijazah Sains Marin dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.46.

Bagaimanapun katanya, sejak 2021 impiannya berubah apabila melalui saat-saat sukar semasa pandemik Covid-19.

”Bidang sains marin perlukan lebih banyak pembelajaran secara praktikal, tetapi kami belajar semuanya dalam talian. Semasa sedang bergelut dengan kesukaran ketika itu, saya sedar hati lebih tertarik kepada bidang perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, Veveonah tetap menamatkan pengajiannya bagi memenuhi kontrak biasiswa.

”Kini sebagai pelajar tahun pertama kursus perubatan selama lima tahun, saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di MSU sambil dalam proses memohon biasiswa,” katanya.

Baca juga: “Aku hina mak sebab curang, lepas kahwin aku pula ada ‘skandal’ dengan 3 lelaki…”