7 beranak tinggal dalam kereta rupanya penerima zakat Pulau Pinang, ini jenis bantuan yang diterima

Oleh MALAYSIADATELINE

Tujuh beranak yang ‘tinggal’ di dalam kereta selepas didakwa diperdaya berhubung rumah sewa rupanya merupakan penerima pelbagai jenis bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Difahamkan berdasarkan rekod, keluarga tujuh beranak berkenaan merupakan penerima skim agihan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang diagihkan melalui ZPP.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, keluarga itu adalah penerima Skim Kewangan Bulanan dari ZPP di mana kadar jumlah bantuan sentiasa akan dikemaskini agar mengikut kesesuaian semasa.

Mereka juga merupakan penerima dana agihan bagi Skim Kewangan Sekaligus selain sering hadir ke pejabat ZPP untuk mendapatkan bantuan kecemasan, lapor Berita Harian.

MAINPP memberi jaminan bahawa agensinya iaitu ZPP sentiasa prihatin dengan keperluan asnaf di Pulau Pinang dan perkembangan tujuh beranak berkenaan akan terus dipantau dari semasa ke semasa.

“Selain itu, ZPP turut membantu keluarga ini dengan membayar kos deposit sewa rumah dan mereka juga sering hadir ke ZPP untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya lapor Berita Harian.

Terdahulu, kisah tujuh beranak itu mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang mengambil tindakan segera dengan menyediakan rumah sewa untuk mereka tinggal dalam keadaan lebih selesa.

Menerusi satu hantaran tular di platform X, Steven turut berkongsi kisah ketua keluarga itu dikenali sebagai Hilmi yang merantau dari Kelantan ke Pulau Pinang bersama isteri dan lima anak berusia dua bulan hingga sembilan tahun.

Berhijrah untuk mendapatkan kehidupan lebih baik, Hilmi yang sudah membayar deposit sewa rumah dan ditawar bekerja sebagai pemandu lori itu mendakwa ditipu hingga mereka dihalau keluar dari kediaman sebelum tinggal di dalam kereta.

Baca juga: Merantau dari Kelantan ke Penang, tak sangka kisah 7 beranak ni menyayat hati!