Ansuran tertunggak 20 bulan, wanita bertindak bakar motosikal sendiri sebelum kena tarik

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita bertindak menuang minyak sebelum membakar motosikal jenis Honda RSX miliknya hanya kerana tidak puas hati ekoran kenderaan tersebut bakal ditarik.

Kejadian yang berlaku berhampiran sebuah gerai di Jalan Masjid, Pokok Assam, Taiping, Perak pada petang Khamis itu sempat dirakamkan sebelum dimuat naik di platform media sosial.

Berdasarkan rakaman tular itu, wanita terbabit yang juga seorang peniaga mulanya didatangi oleh beberapa lelaki dipercayai penarik kenderaan untuk menarik motosikal Honda RSX miliknya.

Hal ini kerana motosikal tersebut mempunyai tunggakan bayaran ansuran selama 20 bulan bagaimanapun wanita terbabit enggan memberi kerjasama sebaliknya bertindak membakar kenderaan miliknya itu.

“Sudah hutang itu, bayarlah. Kalau tak boleh bayar, jangan berhutang. Semasa menandatangani perjanjian (sewa beli motosikal), tak baca dahulu ke kenderaan itu milik siapa,” tulis pemilik akaun yang menularkan rakaman itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna menyifatkan perbuatan tersebut sia-sia kerana wanita berkenaan tetap perlu menyelesaikan tunggakan motosikal jika tidak mahu disenarai hitamkan.

Ramai juga pengguna berkongsi pandangan bahawa satu tindakan tegas sepatutnya boleh mula dikenakan sebagai pengajaran kerana kejadian seperti itu bukanlah pertama kali berlaku.

“Kau bakar motosikal itu pun, kena juga bayar dekat bank. Tak bayar, kena tindakan senarai hitam. Nak keluar negara, sangkut dekat kastam. Nak buat pinjaman berniaga juga tak boleh,” kesal seorang pengguna.

“Tahu sebab apa? Sebab ada manusia mulakan dahulu, yang rosakkan kereta hari itu. Sepatutnya beritahu apa tindakan dan hukuman mereka dapat. Barulah ada pengajaran. Kena betul-betul ambil tindakan.” Kongsi pengguna lain.

Terdahulu, kebakaran marak yang berlaku sekitar jam 3.30 petang itu difahamkan berjaya dipadamkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping namun motosikal tersebut telah terbakar lebih 80 peratus.

Seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kenderaan kemudian membuat laporan polis sekitar jam 4.27 petang berhubung kejadian itu sebelum peniaga terbabit ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 (khianat dengan api) Kanun Keseksaan.

Wanita yang ditahan pada pukul 7.30 petang Khamis itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut dan proses tahanan reman dipercayai akan dibuat pada pagi ini (Jumaat).

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda jika disabitkan kesalahan.

Baca juga: Datang dengan jubah tak berseterika, amil terkejut lelaki disangka asnaf bayar zakat RM1 juta