Didi Astillah bengang, dakwa Ruhainies masih tuduh kakak rancang tangkap khalwat

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi Didi Astillah tampil mempertahankan kakaknya, Bella Astillah dengan membidas kenyataan dikeluarkan oleh pelakon sensasi iaitu Ruhainies berhubung kes tangkap khalwatnya.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Didi berharap Ruhainies berhenti bermain dengan sentimen bahawa orang ramai tidak mengetahui perkara sebenar di sebalik penangkapannya itu.

Dalam hantaran tersebut, Didi juga menegaskan bahawa kakaknya sama sekali tidak terlibat dalam merancang kes tangkap khalwat membabitkan Ruhainies dan juga bekas abang iparnya iaitu pelakon, Aliff Aziz.

“Tak habis nak cakap soal ‘orang tak tahu perkara sebenar, sampai sekarang pun tak tahu’. Mari saya ingatkan, dahulu pun pernah buat kenyataan sama. Selepas itu, terus pergi umrah sebab nak tunjuk tak salah. Haa, betul-betul Allah SWT jawab doa kakak saya yang kamu aniaya.

“Allah hantar sesorang untuk bongkar perancangan jahat kamu orang. Sebab awak tak terfikir perbualan Whatsapp itu akan dibaca. Tetapi kuasa Allah tiada tandingan. Kamu orang merancang, tetapi Allah yang menentukan. Barulah nampak perangai awak macam mana.

“Betapa hitamnya hati itu nak kenakan kakak saya. Jangan bayar kereta sampai enam bulanlah, apalah. Kes lama pun sanggup dikorek asalkan nama kakak saya buruk sekali. Tetapi Allah maha baik, Allah lebih mengetahui apa yang kakak saya lalui,” katanya dalam hantaran itu.

Didi atau nama sebenar, Dayang Nazillah Awang Astillah juga mendakwa Ruhainies turut cuba mempengaruhi orang dalam industri hiburan dan pengasas produk dengan menyebarkan fitnah mengenai kakaknya.

Penyanyi berusia 28 tahun itu turut berkongsi rakaman temu bual terbaharu dari Ruhainies mengenai dugaan dialaminya sepanjang tahun ini dan mendakwa pelakon berkenaan cuba bermain sentimen untuk meriah simpati.

“Tolong berhenti menyebarkan fitnah konon kakak saya perangkaplah. Umur kamu berdua 12 tahun ke nak kena perangkap. Saya tahulah awak ada hantar DM (pesanan secara terus) kepada artis di dalam industri yang bergelar datuk untuk mengutuk dan fitnah kakak saya.

“Cakap kakak saya rancang semua ini. Gila ke nak rancang, itu perangai awak. Ingat kakak saya yang nak ke anak dia kehilangan bapa? Lama dia bertahan sampai rujuk balik dan bertahan lagi lima tahun. Cuba fikir?! Kaki DVD betul awak ini. Macam budak sekolah cari orang sebelahkan dia.

“Tetapi macam itulah orang salah. Tak tenteram, sibuk nak beritahu orang tanpa ditanya. Sebab apa? Sebab salah dik. Kenapa tak ‘move on’ lagi ya? Siapa yang bercerai, awak ke kakak saya? Kalau nak panjangkan lagi boleh. Tetapi tolong, sudah nak masuk 2025. Tak penat ke jadi jahat?,” kesal Didi.

Dalam hantaran yang sama, Didi turut mencabar pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu agar mengemukakan saman sekirananya perkara diperkatakan kakaknya sebelum ini adalah satu bentuk fitnah.

Mengulas lanjut, penyanyi itu juga sempat menyifatkan kes tangkap khalwat melibatkan Ruhainies dengan bekas abang iparnya itu sebagai salah satu bentuk hikmah dalam menghentikan konflik rumah tangga kakaknya.

“Ketika kakak saya memuat naik hantaran di media sosial namakan awak sebagai individu yang berjaya runtuhkan rumahtangganya dengan kes khalwat, kenapa tak saman sahaja dia masa itu? Berani kerana benar. Tetapi ada hikmah kes khalwat terjadi. Kalau tak, mungkin ada kemaafan ke-12 terjadi.” Ujarnya.

Terdahulu, nama Ruhainies menjadi topik perbincangan hangat di media sosial selepas ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 3 Mac lalu bersama Aliff Aziz.

Susulan itu, Bella yang mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada 9 September 2016 lalu itu memutuskan untuk memfailkan penceraian terhadap selebriti asal Singapura terbabit sebelum disahkan bercerai pada 13 Jun.

Baca juga: Isteri boleh ambil duit KWSP suami kalau culas bayar nafkah