Wanita ajar cara orang lama pulihkan demam, sesuai untuk orang yang tak suka telan ubat!

Oleh WAN SITI AMINAH

Meskipun kedengaran seperti tidak logik, namun terdapat segelintir manusia di muka bumi ini yang tidak boleh atau kurang gemar menelan ubat daripada hospital.

Segelintir individu berkenaan akan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak pergi ke hospital atau klinik malah mereka lebih rela menahan sakit daripada harus menelan ubat.

Tidak perlu lagi menahan rasa sakit kerana fobia menelan pil atau ubat-ubatan, berikut kami kongsikan petua orang lama untuk memulihkan demam dengan menggunakan bahan semulajadi.

Petua membuat bancuhan air ini dikongsi oleh seorang wanita dikenali sebagai Leha Yusuf menerusi hantaran di platform Facebook mengenai ikhtiar untuk menurunkan suhu ketika demam.

“Petua bagi merawat demam memang banyak. Biasanya Akak memang sebolehnya elakkan makan ubat. Bukan takut menelan ubat, cuma tak berapa suka sahaja.

“Jadi kalau saya demam, memang rajinlah buat bancuhan air mengikut petua dari arwah Mak dan daripada bahan bacaan lain juga. Untuk petua kali ini, Akak hanya guna dua bahan sahaja.

“Mudah dan paling ringkas. Insya-Allah, berkesan juga. Mari kita cuba buat,” ujar wanita berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya.

Bahan-bahan:

  • Satu senduk kecil Beras Barli
  • Setengah batang Kayu Manis

Cara-cara:

1. Masukkan beras barli dan tambahkan apa-apa jenis kayu manis.

2. Rebus kedua bahan sehingga beras barli kembang dan lembut.

3. Untuk rasa yang lebih enak, boleh tambah madu dan lemon ketika mahu meminumnya.

“Boleh terus minum semasa air suam atau biarkan sejuk seketika. Nak tambah ais pun boleh juga. Ikut kepada tekak masing-masing.” Ulas wanita berkenaan dalam hantaran itu.

Namun orang ramai disarankan untuk mendapatkan nasihat serta rawatan daripada pakar perubatan sekiranya simptom demam berlarutan terlalu lama terutamanya bagi kanak-kanak.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaaat kepada orang ramai yang masih mencari ikhtiar untuk menyembuhkan demam di musim hujan ini!

Baca juga: Bomba ajar cara padam api guna sabun pencuci pinggan, tonton video ini jika nak tahu cara bancuh