Siapa sangka, seorang wanita yang berstatus ibu tunggal tergamak meninggalkan anak kandungnya di sebuah rumah kebajikan hanya kerana bakal suaminya enggan menerima kanak-kanak itu.
Bukan cerita rekaan, namun itulah kejadian sebenar yang dihadapi sendiri oleh seorang pemilik rumah kebajikan di Selangor sebelum diceritakan semula menerusi hantaran video di platform TikTok.
Menurut pemilik rumah kebajikan berkenaan, ibu tunggal terbabit mulanya menghubunginya menerusi panggilan telefon menyatakan hasrat untuk menyerahkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.
Ibu tunggal terbabit memaklumkan bahawa dirinya bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi namun bakal suaminya enggan membesarkan anak yang datang dari ‘benih lain’.
“Saya mendapat panggilan telefon di pagi hari. Pemanggil itu cakap nak hantar anak. Saya tanyalah, berapakah umur kanak-kanak itu? Katanya 10 tahun, maknanya anak itu darjah empat.
“Katanya bulan Januari nak nikah baru. Tetapi masalahnya bakal suami kepada wanita itu tak suka dengan anaknya. Sebab lelaki itu cakap, bukan benih dia. Macam biasalah, budak-budak kan nakal.
“Jadi, bakal suami tak sukalah. Padahal, suami itu belum tentu lagi dia akan setia. Esok awak sudah tua, dia kahwin lain. Siapa pula nak jaga tua nanti?,” kesal pemilik rumah kebajikan itu.
Gagal memahami cara ibu tunggal itu berfikir, pemilik itu merasa bengang mengapa wanita tersebut rela mengikut telunjuk lelaki yang enggan bertanggungjawab sepenuhnya selepas berkahwin.
Pemilik itu akhirnya menolak permintaan ibu tunggal yang tergamak mahu meninggalkan cahaya mata sendiri di pusat jagaan miliknya sebelum mengakhiri perbualan berkenaan.
“Saya tanya, puan bekerja ke? Dia kata kerja dan tak boleh berhenti selepas kahwin nanti sebab kos hidupkan tinggi. Saya terfikir, kenapa pilih berkahwin lain dan hantar ke pusat jagaan atau rumah kebajikan?
“Sedangkan, kahwin esok kau kena bekerja juga. Lelaki itu pun tak mahu menanggung kau sepenuhnya. Sepatutnya bakal suami itu kena terimalah yang awak itu janda dan juga ada anak.
“Inilah benih awak kandungkan selama sembilan bulan 10 hari. Bawa perut kehulu-kehilir. Ke manakah pergi naluri seorang ibu? Saya saya teruslah cakap tak boleh terima kanak-kanak itu,” kongsinya lagi.
Dalam perkongsian yang sama, pemilik itu juga sempat memberikan pesanan kepada ibu bapa lain di luar sana untuk menghargai anak-anak dan terus bersabar dalam membesarkan mereka.
“Betul, kadang-kadang anak ini nakal. Tetapi mana ada budak yang tak nakal. Kau kecil nakal, aku kecil pun dulu nakal. Cuma anak sekarang mungkin lebih berbeza.
“Kadang-kadang apabila anak memberontak, kau pilih lebihkan orang lain termasuk bakal suami. Pastu tua nanti cakap anak derhaka. Tetapi kita sebagai ibu bapa, sudah derhaka dulu pada anak.
“Jangan ingat anak sahaja boleh derhaka. Anak ini pertalian darah sampai mati. Suami boleh cari lain. Saya minta maaf kalau mengecilkan hati.” Ujarnya berharap pengikut mendapat pengajaran menerusi perkongsian itu.
Baca juga: Ini 7 jenama gergasi dunia bankrap kerana sombong, nombor 6 Gen Alfa mungkin dah tak kenal