Penjual senyum lebar durian premium, musang king terjual 400 kilogram sehari

Oleh KIM SYAZIE

Penjual durian di sekitar Kampung Damak, Jerantut yang terkenal dengan pelbagai Durian Premium Kampung (DPK) dan musang king mampu tersenyum lebar dengan hasil jualan durian mereka ketika ini.

Salah seorang penjual, Mariam Mustapa berkata dia mampu menjual kira-kira 400 kilogram durian sehari pada peringkat awal musim durian ini.

Jika keadaan cuaca baik, Mariam menjangkakan jualan akan meningkat lebih daripada 500 kilogram sehari seperti yang diperoleh ketika musim durian awal tahun lalu, lapor Kosmo!.

Ketika ini raja buah masih belum luruh sepenuhnya dan dijangkakan awal bulan Januari ini kemungkinan ia lebih rancak gugur.

“Pada peringkat awal ini, hasil jualan harian buah durian premium dan musang king ialah kira-kira 400 kilogram sehari dan kebanyakan pembeli terdiri daripada mereka yang tinggal di bandar Jerantut dan pengguna jalan raya Jalan Jerantut Benta berdekatan gerai ini,” katanya seperti dilapor.

Marian menjual pelbagai jenis musang king Gred C dengan harga berpatutan antara RM18 hingga RM30 sekilogram, durian D24 (RM18RM20 sekilogram), DPK (RM10 sekilogram) dan durian kahwin kampung (RM15 sekilogram).

Dalam pada itu katanya, pembeli yang datang ke gerainya memilih DPK dan durian kahwin kampung kerana isinya juga berkualiti, enak di samping harganya murah berbanding dengan musang king dan D24.

Baca juga: Tak ‘ghairah’ tunjuk kemewahan, Ryan Bakery akui banyak benda kena belajar