Penyanyi ‘bea soba bea’ makin ceria, dah ada kelab peminat sendiri di penjara Narathiwat

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi sohor Kelantan yang popular dengan lagu ‘bea soba bea’ yang sudah dua bulan di penjara Narathiwat kerana disyaki memiliki 6000 pil kuda, kini semakin ceria dan tidak semuram dahulu.

Pakar Pengurusan Jenayah (bahagian wanita) Penjara Wilayah Narathiwat, Panata Yononarongdetkul berkata, artis itu kini sudah pun mempunyai kelab peminatnya sendiri di dalam penjara.

Kelab peminat penyanyi berusia 29 tahun itu ditubuhkan baru-baru ini. Pada waktu-waktu tertentu, mereka akan menyanyi beramai-ramai sebagai hiburan.

“Kebanyakan peminatnya di penjara ini terdiri daripada banduan wanita dan mereka akan menyanyi bersama-samanya pada waktu tertentu

“Ada antara mereka meminta pihak penjara memuat turun lagu penyanyi itu dan memasangnya sebagai hiburan mereka,” katanya menurut Harian Metro.

Ditanya keadaan penyanyi itu sekarang, Panata berkata wanita yang berasal dari Kelantan itu mulai ceria sekarang.

Katanya, selepas lawatan pihak media Malaysia pada 21 Disember lalu, penyanyi itu kelihatan makin gembira dan seolah-olah mendapat suntikan semangat yang baru.

“Dia dapat merasakan peminatnya masih memberi sokongan kepadanya dan beliau amat teruja untuk kembali kepada peminatnya,” katanya lagi seperti dilapor.

Baca juga: “Sampah sarap bertimbun, kalau aku dan suami kemas pun tak sampai sehari kotor balik…”