Kak KM belum sedia terima menantu, harap anak ubah perangai – “Jaga dulu tatasusila, baru boleh kahwin”

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Kak KM masih belum bersedia untuk menerima menantu selagi anak-anaknya yang sudah meningkat dewasa itu tidak memperbaiki sikap mereka.

Menerusi satu sesi siaran langsung, pemilik nama sebenar Liana Rosli itu berpendapat bahawa kedua-dua anaknya yang masing-masing berusia 21 dan 19 tahun belum boleh memikirkan soal perkahwinan.

Jelas Kak KM, persetujuan untuk berumah tangga hanya akan diberikan apabila anak-anaknya itu pandai menjaga tatasusila dan mampu menguruskan diri sendiri dengan lebih baik.

Perkara itu dikongsi oleh Kak KM yang juga merupakan anak pelakon veteran iaitu Normah Damanhuri di dalam siaran langsung berkenaan selepas ditanya penonton mengenai kriteria menantu idamannya.

“Tak nak (menantu). Aku belum bersedia untuk menerima menantu. Belum masanya lagi. Anak-anak saya, Nabila tahun ini berumur 21 tahun manakala Faris pula berusia 19 tahun. Tak sesuai lagi nak berumah tangga.

“Belum boleh menggelabah. Masing-masing tak boleh kahwin. Macam Nabila, kemas bilik sendiri pun tak pandai. Faris pula, bercakap elok-elok dengan mak dia pun tak pandai lagi.

“Jangan berangan nak berkahwin. Kau jaga dahulu tatasusila, barulah boleh mendirikan rumah tangga,” kata Kak KM dalam siaran langsung yang sempat dirakam dan dimuat naik semula di platform TikTok.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju dengan pandangan Kak KM bahawa sikap bertanggungjawab dan matang itu perlu ada sebelum bersedia mendirikan rumah tangga.

Sekadar info, Kak KM dan suami iaitu Razman Ramli memiliki empat cahaya hasil perkongsian hidup bersama selain Faris dan Nabila iaitu Rania, 16 dan Cinta Carissa yang kini berusia empat tahun tahun.

Baca juga: Tinggal pesakit kritikal untuk keluar minum, 2 doktor pakar, pusat bersalin diarah bayar RM6 juta