Kejam! Warga emas terpaksa jalan kaki 500 km lepas dihalau isteri dan anak tiri

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka masih ada mereka yang sanggup menghalau pasangan sendiri keluar rumah hanya kerana meluahkan rasa tidak selesa atas kehadiran orang luar.

Seorang lelaki berusia 62 tahun di daerah Satuek, Thailand terpaksa keluar dari rumah selepas dihalau isteri dan anak tirinya.

Bukan itu sahaja, lelaki dikenali sebagai Phon terpaksa berjalan sejauh 500 kilometer (km) hanya dengan berkaki ayam dan sehelai sepinggang.

Menurut portal Thaiger, Phon mahu kembali semula ke kampung halamannya di Phon Phisai.

Jelas Phon dia tinggal bersama isterinya di Satuek bukanlah baru tapi sudah lebih 13 tahun mendiami rumah sama.

Phon yang hanya bekerja sebagai buruh am dan tukang kimpal, turut memberikan kesemua pendapatan diperoleh kepada isterinya.

Segala masalah bermula pada pertengahan Disember tahun lalu apabila anak lelaki isterinya berpindah ke rumah mereka dari Bangkok.

Merasa tidak dihargai selepas kehadiran anak tirinya, Phon dipaksa keluar dari rumah pada 28 Disember tanpa satu sen di tangan.

Malah dia terpaksa bergantung kepada balai polis sebagai tempat berteduh dan kuil untuk mendapatkan makanan.

Kecederaan di kaki sewaktu zaman mudanya menyukarkan lagi perjalanan Phon untuk tiba ke kampung halamannya.

DIa juga dikatakan merayau selama 13 hari dengan berjalan terhincut-hincut sambil menangis sepanjang perjalanan.

Seorang penduduk tempatan yang memandu lori tebu kemudian menawarkan untuk memberi tumpangan ke daerah Chaiwan, dan dia kemudiannya dibawa ke hospital oleh pihak polis.

KhaoSod melaporkan, Phon berniat untuk bertemu semula dengan cucunya dan berhajat untuk menjadi seorang sami apabila tiba ke destinasinya.

Baca juga: Terjawab kenapa dah lama tak nampak minyak masak paket dekat pasar raya