Kebakaran besar-besaran di Los Angeles memusnahkan keseluruhan bandar tersibuk di Amerika Syarikat itu.
Selepas kebakaran mereda, media luar negara mengesan sebuah rumah agam bernilai hampir AS$9 juta (RM40 juta) di Malibu masih kukuh berdiri sedangkan rumah di kiri dan kanannya musnah teruk.
Ia membuatkan ramai tertanya-tanya siapa pemilik banglo tiga tingkat itu.
Menurut laporan AFP, rumah itu dimiliki seorang lelaki bernama David Steiner.
Lelaki berusia 64 tahun itu juga terkejut melihat rumahnya berdiri kukuh selepas api memusnahkan seluruh kediaman di kejiranan tersebut.
“Ini keajaiban. Keajaiban tidak pernah hilang,” katanya.
Steiner berkata, dia menyangka kediaman tiga tingkat yang kosong ketika kebakaran berlaku itu musnah apabila seorang kontraktor tempatan menghantar rakaman video menunjukkan api dan asap tebal menyelubungi banglonya dan rumah jiran, Selasa lalu.
Menceritakan lebih lanjut, Steiner berkata rumah itu sememangnya dibina untuk bertahan dalam bencana gempa bumi.
Dia percaya pembinaan yang sangat kukuh menyelamatkan rumahnya daripada kemusnahan akibat kebakaran hutan di Los Angeles.
“Ia menggunakan stuko (plaster berkualiti tinggi), manakala bumbungnya kalis api,” kata Steiner.
Menurutnya, rumah itu juga dibina menggunakan cerucuk sedalam 15.24 meter ke dalam batuan dasar untuk memastikan kestabilan apabila ombak kuat menghempas tambak laut.
Baca juga: Kejam! Warga emas terpaksa jalan kaki 500 km lepas dihalau isteri dan anak tiri