Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Berjaya meyakinkan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) untuk melonjakkan Kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia.
Sewaktu pertemuan dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) diketuai Pengarah Urusan, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, PM Anwar berkata, kedua-dua mereka senada untuk terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan kecemerlangan yang dicapai semasa lawatan saya terdahulu.
ADIA terlibat dalam perancangan untuk memajukan lapangan terbang di Malaysia melalui pelaburannya di dalam transformasi Malaysia Airport Holding Berhad (MIHB).
Ia berlaku pada hari kedua PM Anwar dan rombongannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan pertemuan bersama syarikat-syarikat gergasi negara itu bagi merapatkan hubungan dua hala selain melonjakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan yang terjalin selama ini.
Dalam pertemuan dengan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak pula, soal pelaburan baharu dan sedia ada turut dibincangkan.
Untuk pelaburan projek-projek tenaga boleh diperbaharui pula, PM Anwar berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
“Insya-Allah, kita mengharapkan momentum positif pelaburan hasil pertemuan ini akan terus meningkat yang disokong oleh keyakinan dan komitmen pemain industri dan syarikat-syarikat gergasi UAE,” kata Anwar di dalam kenyataannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan siri lawatan ke beberapa negara dengan perjalanan pertamanya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dua hari lepas.
Ia bagi menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Semasa lawatan ini, Anwar dan delegasinya juga akan bertemu dengan Presiden UAE merangkap pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Usai lawatan kerja di UAE, saya akan berlepas ke London, United Kingdom sebagai usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara termasuk pertemuan dengan rakan sejawat saya Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
“Saya kemudiannya akan ke Brussels, Belgium untuk menghadiri beberapa agenda penting termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo selain sesi bersama Presiden Majlis Eropah Antonio Costa,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Ahad, 12 Januari lepas.
Siri lawatan ini berakhir dengan beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia 2025 di Davos, Switzerland bagi membahaskan pelbagai isu dunia termasuk soal ketidaktentuan perubahan iklim dan pembangunan teknologi.
“Mohon dititipkan doa agar perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudah selain kesemua perancangan yang diatur mendapat keberkahan lantas membawa hasil yang besar kepada rakyat dan negara, Insya-Allah,” ujarnya.
Bagi pemerhati, kejayaan Anwar meyakinkan para pelabur dari luar khasnya dari dunia Arab ini adalah rentetan dari sejarah panjang hubungan beliau dengan mereka.
“Keakraban yang dibina oleh DSAI dengan rakan-rakan pemimpin negara-negara Teluk sejak puluhan tahun..insyaAllah kini akan menghasilkan natijah terbaik buat negara.
“Kemasukan FDI dari Arab akan menjadikan Malaysia semakin Makmur,” kata Mohd Rashidi Hassan, bekas editor media yang kini menjadi salah seorang pembantu beliau.
Pertemuan Anwar dengan pemimpin perniagaan dari dunia Arab ini mengingatkan penyokong Anwar kepada dua rakan beliau, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Mohd Nor.
Mokhtar Anim dalam komennya berkata, “Kalaulah Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadhil Noor masih ada…Insya Allah pasti mereka ada bersama di sini.”
Para penyokong Anwar juga berpendapat, dunia lebih mengenali Anwar berbanding dengan perdana menteri sebelum ini hasil dari asas kukuh yang beliau bina di serata dunia.
“Dunia lebih mengenalinya daripada PM sebelum ini, bukan tak kenal, tapi lebih mengenali PMX, kerana beliau sudah membina asas yang kukuh di serata pelusuk dunia, baik timur, barat, utara dan selatan. Kebanyakan pemimpin dunia lebih kenal akan PMX, lebih mudah berurusan dengan beliau,” kata rakan beliau, Teabanyong Yong.
Baca juga: ADIA, pelabur terbesar dunia dari Abu Dhabi akan tingkatkan pelaburan di Malaysia