Penduduk Dungun ‘berpesta’ kerang, naik ke pesisir pantai lepas ombak besar – “Jalan jem!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan keadaan di sebuah pantai di Dungun, Terengganu yang diserbu oleh pengunjung sehingga membuatkan kawasan pesisir itu dipenuhi dengan orang ramai.

Hal ini kerana penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan itu mengambil kesempatan merasai ‘fenomena kerang’ yang naik ke pesisir Pantai Sura selepas dilanda ombak besar.

Menerusi rakaman berdurasi 27 saat yang dikongsikan di platform TikTok itu, kelihatan orang ramai begitu tekun mengutip kerang-kerang yang terdampar di atas pasir bersama ahli keluarga mereka.

Para pengunjung tidak mengira orang dewasa mahupun kanak-kanak menggunakan pelbagai peralatan termasuk baldi dan pukat ikan untuk mengumpul hidupan laut berkenaan.

Fenomena tersebut bukan sahaja menguntungkan orang ramai berikutan dapat menikmati hidupan laut tersebut secara percuma malah turut mengeratkan hubungan dan mencipta memori berharga bersama keluarga.

@sufiisoulhi

Fenomena Kerang naik ke pesisir pantai di Pantai Sura, Dungun. Muncul kerang selepas ombak besar. Ramai komuniti dungun tak lepaskan peluang #dungun #kerang #fyp #terengganu

♬ suara asli – 𝖄 𝖔 𝖌 𝖆 199X – 𝖄 𝖔 𝖌 𝖆 199X

“Fenomena kerang naik ke kawasan pesisir di Pantai Sura, Dungun. Kerang ini muncul selepas ombak besar. Ramai komuniti dungun tak lepaskan peluang (untuk mengutip kerang),” tulis perakam video di ruangan kapsyen.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa teruja melihat fenomena itu dan tidak lupa memberikan peringatan kepada para pengunjung untuk turut berhati-hati.

Pengguna TikTok yang merupakan penduduk tempatan turut meninggalkan komen berkongsi kekesalannya tidak dapat mengutip kerang kerana jalan menuju ke pantai itu terlalu sesak.

“Semalam nak pergi kutip kerang juga selepas Asar. Tetapi pergi nak dekat waktu Maghrib, jalan sesak sangat. Patah balik,” kata seorang pengguna yang merupakan penduduk di kawasan itu.

“Cari kerang itu jangan lupa jaga keselamatan. Anak-anak jangan dibiarkan. Ombak besar itu. Malang tak berbau, kita tak boleh nak jangkakan. Saya sekadar mahu berikan peringatan.” Kongsi pengguna lain.

Difahamkan, fenomena kerang naik ke pesisir Pantai Sura di Dungun itu bukanlah kali pertama berlaku sebaliknya kebanjiran hidupan laut tersebut ditunggu-tunggu oleh penduduk setiap kali tiba musim tengkujuh.

Baca juga: Ramai tak tahu sekarang dah boleh beli rumah tanpa bayar duit muka, ini caranya