Siapa sahaja tidak kenal akan penyanyi dan pelakon era 70-an, Uji Rashid yang kerap menghiasi kaca televisyen satu ketika dahulu.
Namun kini namanya semakin senyap, bukan kerana faktor umur sahaja namun dia kini menggalas tanggungjawab untuk menjaga anak lelaki tunggal kesayangannya, Cico Harahap.
Meskipun sudah melalui fasa penat lelah menjaga anak sewaktu mereka kecil, Uji reda apabil perlu menjaga Cico meskipun sudah meningkat usia lapor Harian Metro.
“Sepatutnya dia (Cico) yang kena menjaga saya sebab dah besar dan berusia, tetapi Allah berkehendak sebaliknya. Untuk itu, saya perlu tunjukkan diri ini sebagai seorang wanita dan ibu yang hebat kepadanya.
“Saya juga sekarang banyak menghabiskan masa di rumah saja untuk menjaga Cico yang tidak sihat dan memerlukan perhatian serta sokongan moral untuk dia terus bersemangat,” katanya dalam video di TikTok.
Dalam pada itu, Uji menjelaskan dia sudah tidak aktif menyanyi disebabkan mahu menumpukan sepenuh perhatian buat Cico.
“Saya menyepi dan tidak menyanyi lagi sekarang sebab nak menjaga Cico yang masih tidak sihat. Bagi saya, anak adalah amanah daripada Tuhan kepada saya walaupun dia sudah besar dan sepatutnya yang menjaga saya.
“Bagaimanapun, amanah ini (menjaga Cico) perlu saya terus jalankan selagi hidup. Apatah lagi, dia amat perlukan saya ini ibunya untuk menyokong dan menjaganya dengan baik. Saya reda sebab semua ini kuasa Tuhan,” tambahnya.
Baca juga: Penduduk Dungun ‘berpesta’ kerang, naik ke pesisir pantai lepas ombak besar – “Jalan jem!”