Jana RM10,000 dengan hanya 1 video, wanita dedah 3 kerja sampingan bergaji lumayan

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita boleh menjana pendapatan sampingan mencecah RM10,000 dengan hanya membuat satu video sebelum memuat naik kandungan tersebut di platform media sosial.

Itulah pendedahan wanita yang memiliki pekerjaan tetap namun mencipta kandungan sebagai ‘Affiliate’ di sebuah platform media sosial secara sambilan untuk meraih pendapatan cukup lumayan.

Mereka yang menjadi Affiliate hanya perlu menghasilkan kandungan kreatif dan menarik untuk mempromosikan sesebuah produk sebelum mendapat komisen daripada penjualan barangan tersebut.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pencipta kandungan TikTok dikenali sebagai Adalyna selepas rakannya mendedahkan pendapatan sampingan lumayan diraihnya dengan menjadi Affliate.

“Sumpah saya baru tahu bahawa satu video Affiliate, boleh jana pendapatan sampai RM10,000. Buktinya kawan saya ini, dia buat Affiliate. Bukan sebulan, tetapi dengan hanya satu video boleh jana wang sampai RM10,000.

“Saya macam tergamam, terduduk ya apabila terdengar cerita dia tadi. Tak tahulah berapa ribu dia sudah dapat setakat ini. Tetapi memang masyuklah sebab dia ada kerja waktu pejabat juga.

“Kemudian dia buat Affiliate secara sampingan. Zaman sekarang siapa sahaja yang tak beli barang dari platform atas talian. Jadi kamu juga boleh buat video, muat naik dan dapat komisen jika orang beli produk,” katanya.

Menurut Adalyna, pendedahan rakannya itu membuatkan dirinya mahu berkongsi dengan orang ramai tentang tiga jenis pekerjaan yang boleh dilakukan secara sampingan namun pendapatannya sangat lumayan.

Pekerjaan pertama adalah Affiliate seperti dilakukan oleh rakannya manakala yang kedua pula dikenali sebagai ‘gig job’ di mana pekerja perlulah pandai mencari peluang mengikut waktu terluang mereka.

Gig job ini asasnya jenis pekerjaan yang waktu kerjanya tidak tetap. Sebagai contoh kalau saya nak buat satu acara. Selepas itu, saya perlukan kru untuk acara itu. Saya boleh kongsi maklumat peluang pekerjaan itu.

“Sebagai contohnya di laman media sosial Facebook atau platform pencari kerja lain. Dekat platform ini, memang akan selalu ada peluang untuk bekerja secara sambilan. Boleh pilih sendiri masa dan jumlah hari bekerja,” ujarnya.

Pekerjaan terakhir yang boleh menjana pendapatan sampingan lumayan sudah tentulah dengan menjadi pencipta kandungan di mana waktu bekerja boleh diatur sendiri jika dapat mengurus masa dengan baik.

Namun Adalyna juga sempat menyampaikan pesanan kepada mereka yang mahu menjadi pencipta kandungan supaya menghasilkan video yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

Baca juga: Lelaki kira duit syiling di kedai motor demi beli skuter idaman berharga RM5,700