Gara-gara wang agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tidak mencukupi, pasangan suami isteri yang merupakan ibu bapa terus bertindak memarahi guru anaknya tanpa bertanyakan perkara sebenar.
Malah ibu bapa berkenaan juga tergamak menuduh guru itu mengambil sebahagian daripada wang tersebut untuk tujuan melunaskan bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi pihak anak mereka.
Sedangkan sebahagian wang BAP tersebut digunakan oleh anak mereka sendiri sebelum kanak-kanak tersebut menyerahkan baki kepada ibu bapanya selepas sampai di rumah.
Lebih memburukkan keadaan, murid berkenaan mulanya tidak berlaku jujur tentang penggunaaan wang tersebut kepada ibu bapanya dan malah meletakkan kesalahan di bahu gurunya.
Kejadian itu didedahkan oleh seorang guru yang merasa terkilan apabila dirinya dipersalahkan sebelum berkongsi kekesalannya menerusi satu hantaran tular dimuat naik di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.
“Kerana agihan BAP, guru dimarahi ibu bapa. Sebab anak kata cikgu berikan RM100 sahaja. Sepatutnya RM150. Ibu bapa kata cikgu sudah ambil duit RM50 itu untuk bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Tetapi cikgu ada rekod serahan RM150 itu tanpa apa-apa potongan. Rupa-rupanya, anak sudah belanjakan duit itu sebelum sampai ke rumah,” katanya dalam perkongsian di platform TikTok itu.
Guru tersebut bagaimanapun tidak menyalahkan pelajar berkenaan 100 peratus berikutan wang berjumlah RM150 itu sememangnya hak kanak-kanak itu selain berharap wang BAP berkenaan dimanfaatkan sebaiknya.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang berjaya meraih tumpuan orang ramai itu sudah ditonton sebanyak 1.2 juta pelayar TikTok dan mendapat 74,700 tanda suka daripada pengguna platform berkenaan.
“Tetapi memang duit itu hak anak. Cuma ibu bapa kecewa tak boleh guna duit BAP itu untuk ‘top up’ (tambah beli) barang dapur. Harapnya duit BAP itu dapat dimanfaatkan sebaiknya ya,” ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terutamanya ibu bapa mempunyai pendapat yang berbeza mengenai penggunaan wang bantuan daripada kerajaan tersebut.
Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa wang bantuan tersebut sememangnya patut digunakan oleh ibu bapa untuk menampung keperluan anak terutama dari segi persekolahan.
Manakala segelintir ibu bapa pula berpandangan bahawa wang tersebut adalah sepenuhnya hak anak berikutan sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai penjaga untuk menanggung keperluan mereka.
“Duit BAP anak-anak, semuanya saya masukkan ke dalam akaun bank mereka. Setakat ini, saya dan suami masih mampu bekerja. Jadi segala perbelanjaan sekolah anak, biarlah kami tanggung,” kata seorang pengguna.
“Pendapat saya, kerajaan wujudkan bantuan BAP untuk membantu ringankan tanggungan ibu bapa bagi urusan persekolahan anak-anak. Jadi saya tak pernah beri kepada anak. Duit itu saya guna untuk bayar segala yuran.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Penduduk kampung kaya raya selepas bilionair bagi wang tunai RM6,000 seorang