Jurugambar tolak pengantin jatuh parit sudah minta maaf, dakwa kena ugutan bunuh

Oleh WAN SITI AMINAH

Jurugambar dikenali sebagai Shaffat tampil memberikan penjelasan mengenai rakaman tular memaparkan dirinya menolak pengantin lelaki jatuh ke dalam parit dalam satu sesi fotografi.

Rakaman itu telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial sebelum ini berikutan pihak butik pengantin meluahkan kekesalan kerana khuatir persalinan songket disewa pelanggannya rosak akibat terkena air.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, jurugambar itu memaklumkan bahawa dirinya akur dengan kesilapannya malah telah menyampaikan permohonan maaf kepada pihak butik pengantin.

Kedua-dua pihak terbabit juga sudah merancang untuk mengadakan pertemuan bagi berbincang terutamanya berhubung pembayaran ganti rugi pakaian tersebut jika berlakunya kerosakan.

Namun apa yang menghairankan jurugambar itu adalah sikap orang luar kerana mereka bukan sahaja mengecam malah bertindak berlebihan dengan menghantar ugutan bunuh meskipun tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

@shaffat.as01

BENDA XDOP GAPO POM,KALAU PERLU BAYAR SAYA BAYAR DAN AKAN MINTAK MAAF #fyp #fypシ

♬ Drama accompaniment, horror, pursuit, escape, panic(1166990) – Lyrebirds music

“Saya ada, tak lari pun. Saya juga sudah tahu yang perkara ini tular dan mengakui kesalahan dilakukan itu. Saya juga sudah menghubungi pihak butik pengantin tersebut dan InsyaAllah, kami akan berjumpa serta berbincang.

“Tetapi yang paling saya tak faham, kenapa orang luar nak masuk campur pula? Sampai ada yang ugut bunuh, nak pukul dan sebagainya. Apa motif anda? Kes ini adalah di antara saya, pihak butik dan pengantin.

“Pandailah saya tebus kesalahan dengan ganti rugi atau sebagainya. Itu urusan saya dengan tiga pihak. Saya akan bertanggungjawab dan tak lari,” kata jurugambar terbabit dalam hantaran video di platform TikTok.

Dalam perkongsian yang sama, Shaffat juga mengakui langsung tidak menyangka gurauan dengan pengantin lelaki itu boleh menjadi satu isu hingga hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak.

Namun Shaffat berpendapat bahawa isu itu tidak perlulah dibesarkan oleh pihak tidak berkaitan kerana jurugambar terbabit bersedia untuk menanggung ganti rugi pakaian yang disewa pengantin berkenaan.

“Benda tiada apa pun. Kalau perlu ganti, saya akan bayar dan minta maaf. Berikan masa untuk kami berjumpa. Itu hanya gurauan yang tidak dijangka jadi sampai macam ini.” Ujar jurugambar terbabit.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak butik pengantin difahamkan sudah menjahit baju baharu buat pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini manakala kosnya pula ditanggung oleh jurugambar terbabit.

Baca juga: Buat lawak pasal ‘ham’, pelawak ‘diserang’ netizen, tak jaga sensitiviti agama