10 ‘doktor Bangladesh’ buka klinik haram di ibu negara, berselindung di sebalik kedai runcit

Oleh KIM SYAZIE

Jabatan Imigresen Malaysia bersama Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya membongkar kegiatan 10 lelaki warga Bangladesh di negara ini yang disyaki menawarkan rawatan kesihatan seperti seorang doktor dan membuka klinik secara haram.

Lebih memeranjatkan, kesemua mereka menjual ubat tidak berdaftar dalam serbuan klinik doktor warga asing di 10 premis sekitar ibu negara kelmarin.

Menurut laporan, ‘klinik’ itu beroperasi dengan cara berselindung di sebalik kedai makan dan kedai runcit yang menyasarkan warganegara mereka sendiri.

Mereka juga berbuat demikian bagi mengaburi pihak berkuasa dan modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah.

“Kita merampas peralatan doktor palsu, pelbagai jenis ubat dan wang tunai RM800 dipercayai hasil rawatan dan jualan ubat selain pihak KKM merampas 502 jenis ubat tidak berdaftar dengan nilai rampasan dianggarkan RM265,192,” kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Zakaria berkata bayaran rawatan dan penjualan ubat yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warga Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama setahun.

Seterusnya beliau berkata siasatan juga mendapati ubat yang dijual tidak berdaftar dan tiada kelulusan KKM serta disyaki dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah melakukan risikan selama dua minggu sebelum menyerbu ke lokasi-lokasi terbabit.

“Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua telah tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Baca juga: Lelaki ajar cara suburkan tanaman cili guna teh uncang, kongsi 4 tips elak pokok rosak