Tindakan seorang warga emas menderma darah secara rutin sejak tahun 1988 sehingga kini telah mengundang pujian orang ramai terutamanya di kalangan pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, lelaki warga emas yang dikenali sebagai Zulkarnain itu telah melakukan amalan mulia berkenaan lebih dari 400 kali sekali gus membantu menyelamatkan nyawa pesakit tidak terkira bilangannya.
Oleh yang demikian, pihak Derma Darah Kelantan tampil menyampaikan penghargaan kepada Zulkarnain di atas sumbangannya itu menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform TikTok.
Warga emas terbabit difahamkan merupakan penderma aferesis (komponen darah) tetap di Pusat Darah Negara sebelum meneruskan aktiviti menderma di Kelantan ekoran berhijrah ke negeri berkenaan.
Berdasarkan rekod di dalam buku derma darah yang turut ditunjukkan menerusi rakaman itu, Zulkarnian melakukan pendermaan penuh dan aferasis melibatkan komponen platelet dan plasma darah.
“Tahniah dan juga terima kasih kepada Encik Zulkarnain. Sudah 37 tahun beliau menderma darah dan tidak terkira jumlah pesakit yang telah dibantu. Encik Zulkarnain telah menderma lebih 400 kali.
“Mula menderma sejak dari tahun 1988 lagi. Dahulu beliau menjadi penderma aferesis tetap di Pusat Darah Negara. Beliau sekarang menetap di Kelantan dan meneruskan pendermaan di sini pula.
“Kali ini beliau menderma lagi untuk kali ke-477,” tulis keterangan dalam video yang memaparkan warga emas berkenaan sedang berbaring di atas katil bagi menderma darah.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum terhadap warga emas terbabit kerana mampu meneruskan amalan menderma meskipun usianya sudah senja.
Ramai juga pengguna terutamanya di dalam golongan penderma mengakui terinspirasi untuk mencapai jumlah yang sama dalam menderma darah selepas menonton perkongsian tersebut.
“Saya sudah menderma sebanyak 21 kali. Harap-harap di sepanjang hayat ini, dapatlah saya menderma sehingga 100 kali pun sudah tidak mengapa,” kata seorang pengguna berharap dapat terus menyumbang.
“Hebat, dapat pahala berterusan. Saya bergolongan darah ‘O’. Tetapi sayang, tak boleh nak derma sebab berat badan saya di bawah 45 kilogram (kg).” Puji pengguna lain yang juga memiliki keinginan untuk menderma namun tidak melepasi syarat.
Baca juga: Orang ramai puji pekerja stesen minyak halang kenderaan plat Singapura isi RON95