Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang peguam syarie meninggalkan pesan buat insan bergelar bapa tentang kepentingan menunaikan tanggungjawab berhubung nafkah anak.
Menurut peguam terbabit, seorang bapa tetap memiliki kewajipan di dalam menunaikan nafkah anak walaupun mereka mempunyai masalah atau tidak bersefahaman dengan bekas isteri.
Seorang bapa juga tidak seharusnya memberikan alasan menunggu perintah pihak mahkamah untuk mengelak dari menunaikan nafkah kerana tanggungjawab tersebut sudah diperintahkan Allah SWT terlebih dahulu.
Peringatan berkenaan disampaikan oleh Peguam Syarie, Muhammad Nur Hafiz Roslan ketika hadir sebagai tetamu dalam rancangan televisyen bual bicara Wanita Hari Ini yang bertemakan ‘DUDA JANGAN LUPA NAFKAH’.
“Untuk kesemua bapa-bapa yang berada di luar sana. Apa pun berlaku di antara kamu dan bekas isteri, maka kamu tetap seorang bapa. Ingat ya, apa pun berlaku Allah itu tetap ada.
“Setiap daripada perbuatan kamu itu akan dipersoalkan di akhirat kelak. Tanggungjawab untuk nafkah ini sangatlah tinggi. Saya berpesan kepada tuan-tuan di luar sana, baik kamu pernah ada perintah mahkamah atau sebaliknya.
“Sebenarnya perintah dari Allah SWT sudah ada terlebih dahulu untuk diri kamu. Jadi sahaja seorang bapa, bukan senang-senang boleh tinggalkan anak dan kemudian lupakan mereka,” katanya.
Rakaman berdurasi lebih satu minit yang memaparkan sedutan rancangan tersebut turut dimuat naik di platform TikTok dan sudah meraih setengah juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
Dalam rakaman itu, peguam terbabit turut mengingatkan jenis nafkah yang berada di bawah tanggungan para bapa termasuklah tempat tinggal, makan dan minum, pakaian, perubatan dan sebagainya.
“(Nafkah ini termasuklah) kos tempat tinggal, makan dan minum, pakaian serta perubatan anak. Paling utamanya, kenapa kita mendapat kewalian sebagai seorang bapa? Ini adalah untuk mendidik anak-anak.
“Kalaulah kita tak dapat mendidik anak-anak dari sudut agama dengan betul. Maka sekurang-kurangnya jagaalah makan dan minum, serta tempat tinggalnya supaya dia menjadi orang yang lebih baik daripada kita.” Ujarnya.
Baca juga: Bagi mak pegang kad bank, Haneesya Hanee tak kisah jika duit habis