Polis tahan pasangan umur 20-an, berkait kes tipu isteri Along Cham tukar hukuman suami

Oleh MALAYSIADATELINE

Sepasang suami isteri ditahan oleh pihak polis berhubung dakwaan kes penipuan dengan jumlah kerugian RM95,180 membabitkan isteri kepada pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi berkaitan menukar hukuman.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pasangan suami isteri yang berusia dalam lingkungan 20-an berkenaan telah ditahan pihaknya di kawasan Sepang, Selangor pada pukul 10 malam tadi.

Datuk Hussein turut memaklumkan bahawa setakat ini, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada tiga individu termasuklah isteri kepada Along Cham untuk membantu siasatan, lapor Utusan Malaysia.

Kedua-dua suspek itu juga difahamkan akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk proses permohonan reman.

“Kedua-dua suspek ditahan pada pukul 10 malam di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang. Kita akan memohon reman mereka di Mahkamah Kajang,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, pihak polis menerima laporan daripada isteri Along Cham berhubung dakwaan kes penipuan tawaran bantuan dalam urusan menukarkan seksyen hukuman suaminya di mahkamah.

Siasatan kemudian mendapati Afreena berjumpa dengan suspek pada Disember lalu untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi suaminya sebelum ditawarkan bantuan bagi menurunkan seksyen kesalahan.

“Suspek beberapa kali berjumpa dengan mangsa dan meyakinkan mangsa bahawa suspek boleh membantu untuk menyelesaikan masalah berkenan. Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek.

“Selepas bayaran dibuat, mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan,” jelas Hussein yang memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sebelum ini, Afreena menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story, kelmarin mengatakan bahawa dirinya yakin kebenaran bakal terungkap tidak lama lagi selepas tampil membuat laporan di balai polis.

Laporan tersebut dibuat oleh Afreena di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas mendakwa telah ditipu oleh seorang individu dikenali sebagai Ika membabitkan nilai kerugian sebanyak RM95,180.

Hantaran itu sekali gus menjawab dakwaan Along yang mengatakan isterinya telah menyeleweng sumbangan awam berjumlah hampir RM100,000 yang diterima dari rakan-rakan artis.

Baca juga: Isteri Along Cham lapor polis, dakwa ditipu RM95,180 untuk urusan pembebasan suami