Usaha Malaysia untuk membangunkan semula Gaza dengan kerjasama kerajaan Jepun mendapat sokongan penuh pelbagai pihak di negara ini.
Ini kerana, langkah ini akan membolehkan sekolah, hospital dan masjid yang dimusnahkan oleh Israel dapat dibina semula.

(Dua kanak-kanak Gaza cuba membersihkan sekolah mereka yang hancur. Inilah kemungkinannya antara sekolah yang akan dibina semula melalui kerjasama Malaysia dan Jepun – Gambar hiasan)
“Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif Kerajaan Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha mempercepatkan pembangunan semula Gaza, Palestin.
“Kami mengalu-alukan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun untuk menubuhkan dana pembangunan melalui pelbagai inisiatif Asia Timur, yang akan memberi tumpuan kepada pembinaan semula infrastruktur penting seperti sekolah, hospital, dan masjid,” kata Syahrir Azfar Saleh, Ketua Pegawai Ekseutif, Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
Menurut Syahrir, sebagai sebuah pertubuhan yang komited terhadap keamanan dan kesejahteraan global, GPM ingin memberikan jaminan untuk terus menyokong proses pemulihan Gaza melalui pelancaran #KempenPulihkanGaza yang telah dimulakan pada 16 Januari 2025 yang lepas.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar telah mengumumkan Malaysia dan Jepun akan bekerjasama untuk membangunkan semula Gaza yang hancur akibat serangan Israel.
Menurut Syahrir, kempen ini akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek pemulihan yang kritikal, termasuk:
a. Membaiki dan membina kembali rumah serta tempat kediaman yang telah rosak atau musnah.
b. Membangunkan semula pendidikan, termasuk membina kembali Sekolah Tahfiz
Siraj Al-Munir yang telah dimusnahkan semasa konflik, dan memberikan sokongan
segera kepada pelajar di Gaza agar dapat memulakan pendidikan mereka.
c. Memberikan sokongan perlindungan kepada anak-anak Gaza yang menjadi yatim melalui Kempen Anak Angkat Gaza GPM.
d. Membangunkan ekonomi jangka panjang, termasuk membina semula Ladang
Ternakan Ayam Moden serta Kilang Roti bagi memastikan keperluan makanan rakyat Gaza dapat dipenuhi.
e. Meneruskan bantuan kecemasan lain seperti bantuan khemah, makanan asasi,
bekalan air bersih, kit kebersihan, dan keperluan kehidupan lain yang amat penting
dan mendesak.
“GPM percaya bahawa usaha ini bukan sahaja akan memulihkan Gaza dari segi fizikal, tetapi juga memberikan harapan dan kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bertahan dan membina masa depan yang lebih baik.
“Kami mengajak semua pihak, termasuk rakyat Malaysia dan organisasi masyarakat sivil, untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini.
“Kami berdoa agar usaha ini diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT, serta membawa keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat Gaza dan Palestin,” kata beliau.
KESAL KENYATAAN RAFIDAH
Sementara itu, parti KeAdilan kesal dengan kenyataan bekas Menteri Kabinet, Datuk Seri Rafidah Aziz yang mempertikaikan usaha Malaysia untuk membangunkan semula Gaza.
Pengarah, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, Parti Keadilan Rakyat Malaysia. Amidi Abdul Manan (gambar bawah) berkata, selaku individu atau pemimpin yang memahami selok belok hubungan antarabangsa seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Katanya, Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana desakan antarabangsa, khususnya penyelesaian dua negara walau telah diputuskan diperingkat PBB.
“Oleh yang demikian kenyataan Tan Sri Rafidah seolah-olah menunggu kucing bertanduk,” katanya dalam kenyataan itu.
Bagi beliau, syarat atau kondisi yang diletakkan Israel untuk kita membantu rakyat Palestin hampir mustahil akan terjadi berdasarkan rekod sejarah selama ini.
“Kewujudan negara Israel pun dipertikaikan. Kita sendiri tidak pernah mengiktiraf kewujudannya. Inikan pula mahu keputusan yang jelas terhadap pemilikan tanah-tanah di Palestin.
“Sedarkah beliau, dalam edisi terbaru peperangan Hamas-Israel, Israel menyerang membabi buta semua kemudahan awam termasuklah masjid, sekolah dan hospital,” kata Amidi.
Beliau seterusnya berkata, ada kemungkinan tidak pernah terlintas di media sosial Rafidah, solat hari raya dilakukan dalam runtuhan sebuah bangunan.
Malah, katanya, para doktor perubatan ditangkap atau terbunuh ketika hospital dibom.
“Dimanakah rasa kasihan belas Tan Sri?” tanya Amidi dalam kenyataan itu.
“Saya akui mungkin ada kebenarannya apabila Tan Sri menimbulkan penggunaan dana awam yang bersumberkan cukai dan sebagainya.
“Jika demikian, kenapa dilaksanakan projek mega ketika Tan Sri sebagai anggota kabinet sedangkan ketika itu wujud juga sekolah daif di luar bandar, jalan rosak dan hospital uzur di pedalaman negara.

“Alangkah baiknya jika kos patung helang di Langkawi (gambar atas) digunakan untuk membaiki sekolah daif di Kedah itu sendiri. Apakah nilai atau manfaat yang diperolehi oleh rakyat terbanyak dengan Litar Lumba F1 di Sepang?.
“Adakah Tan Sri akan tersenyum gembira, tatkala negara kita dirundung musibah dan memerlukan bantuan asing, semua negara memberikan alasan masih ada sekolah daif di negara mereka dan masih ada hospital yang uzur perlu diberikan perhatian?” tanya Amidi.