Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus tampil menjawab persoalan tentang hukum pemakaian minyak wangi khususnya buat kaum perempuan selepas ditanya mengenainya dalam satu sesi ceramah.
Menurut pendakwah yang lebih mesra disapa sebagai UAI itu, tidak menjadi masalah untuk lelaki mahupun wanita untuk memakai wangi-wangian namun hukum bagi kedua-dua golongan ini adalah berbeza.
Jelasnya dalam sesi ceramah berkenaan, golongan lelaki dibenarkan untuk memakai minyak wangi dalam kadar yang banyak sedangkan kaum wanita tidak boleh memakainya sehingga dapat dihidu oleh orang lain.
“Orang perempuan mahupun lelaki boleh dan dibenarkan untuk memakai minyak wangi. Cuma bezanya ialah, orang lelaki boleh memakainya sehinggakan wangian tersebut dihidu oleh orang lain.
“Manakala orang perempuan pula tak dibenarkan kerana mereka hanya boleh memakai wangian untuk diri sendiri sahaja. Sekiranya dia pakai minyak wangi dan orang lain terhidu, maka hukumnya jatuh haram,” jelasnya.
Pendakwah asal Terengganu itu memberikan penjelasan sedemikian selepas menerima soalan daripada penonton sesi ceramah yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di platform TikTok.
Mengulas lanjut, pendakwah terbabit juga memaklumkan bahawa wanita dibenar untuk memakai wangian secara berlebihan di rumah mereka sahaja terutama di hadapan suami.
“Nabi pernah berkata; Perempuan yang keluar rumah dan berbau harum semerbak sehingga dapat dicium hidung manusia, seperti perempuan ‘berzina’. Maknanya, seperti perangai seorang wanita yang jahat.
“Orang perempuan boleh pakai minyak wangi berlebihan, tetapi hanyalah untuk suaminya di rumah sahaja. Namun tengoklah orang perempuan zaman sekarang, kalau ada di rumah bukan nak lawa-lawa. Pakai wangi-wangian.
“Hanya ada bau kurang menyenangkan daripada ketiak mereka. Tetapi kalau keluar pergi ke pejabat atau kenduri, bau wangi merekalah yang paling kuat. Hukumnya adalah haram. Kena ingat wahai golongan wanita.” Tegasnya.
Baca juga: Kesihatan jantung hanya 24 peratus, Jalil Hamid terpaksa batalkan niat untuk buat ibadah haji