Isteri alami serangan jantung ringan, Hazama pilih luang lebih masa, akui kini asyik berkepit je

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya perasaan risau itu tinggi apabila orang tersayang terkena penyakit apatah lagi serangan jantung yang boleh membawa maut.

Mengimbau kembali memori pahit beberapa bulan lalu, penyanyi Hazama mengakui risau selepas isterinya pengarah muzik, Genervie Kam itu mengalami serangan jantung ringan

Hazama memaklumkan isterinya disahkan mempunyai gangguan ritma jantung hanya disebabkan kolesterol tinggi serta keletihan lapor Kosmo! Online.

“Ketika kejadian, isteri saya mengalami degupan jantung laju yang membuatkan saya terus membawanya ke klinik namun doktor merujuk kesnya ke hospital bagi berjumpa pakar.

“Alhamdulillah tiada sebarang sumbatan dikesan, cuma kolesterol sedikit tinggi serta degupan jantung juga agresif mungkin disebabkan kurang rehat.

“Apabila sudah mencecah 40-an, kesihatan fizikal dan mental perlu diberi penekanan.

“Apapun, keadaan isteri membuatkan kami semakin menjaga antara satu sama. Dah tak mahu berenggang,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu Hazama berkongsi bahawa Genervie sudah mengamalkan gaya hidup sihat terutamanya tidur dan rehat mencukupi.

“Alhamdulillah sekarang keadaannya semakin okey. Walaupun serangan jantung ringan, tentu sahaja saya bimbang apatah lagi dia merupakan teman sejiwa saya.

“Saya boleh patah kaki kalau dia sakit. Kalau sebelum ini saya habiskan banyak masa di studio, boleh dikatakan sekarang kami sentiasa bersama, dah macam belangkas,” katanya.

Baca juga: Tak ambil dari rumah kebajikan, rupanya anak angkat Alyah…