“Masa berpantang pun suruh kerja” – Pempengaruh ‘old money’ didakwa tak bayar gaji pekerja

Oleh WAN SITI AMINAH

Hangat diperkatakan di media sosial baru-baru mengenai seorang pempengaruh sensasi yang didakwa culas dalam membayar gaji pekerjanya sehingga ada di antara mereka terpaksa bergadai harta untuk meneruskan kehidupan.

Berdasarkan perkongsian daripada salah seorang pekerja, pempengaruh berkenaan dikatakan tidak menjelaskan tunggakan gaji kakitangannya semenjak bulan Disember tahun lalu sehingga ke hari ini.

Tidak terhenti di situ, pekerja itu memaklumkan bahawa pempengaruh berkenaan itu bukan sahaja membiarkan kakitangannya mengemis gaji sendiri malah turut meminta mereka untuk meletakkan jawatan.

Perkara tersebut didedahkan oleh pekerja pempengaruh berkenaan menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform media sosial X tanpa didedahkan identiti sebenarnya.

“Hai, nak ‘tumpahkan teh’ tentang si Andika (Putera) yang tak bayar gaji pekerja. Sudah tertunggak sejak Disember 2024 hingga Januari 2025. Siap suruh pekerja meletakkan jawatan tetapi apabila minta surat rasmi Pemberhentian Kerja, buat lambat.

“Dia benar pekerja buat laporan kepada pihak sepatutnya konon suruh bagi muka sebab dia baru berkahwin dan ada anak istimewa. Habis pekerja ini lagilah. Puasa sudah dekat, yang ada anak kena uruskan hal sekolah. Tiada sikap empatilah dia ini.

“Asyuk muat naik kandungan ‘old money’, terpaling ads isteri Doktor. Bulan madu sampai belanja RM20,000 tetapi gaji pekerja tak bayar. Alasannya dia sudah lama tak pergi bercuti dan itu duit peribadi. Kasihan pekerjanya, sampai bergadai harta nak teruskan hidup,” kesal pekerja terbabit.

Lebih memburukkan keadaan, seorang lagi individu yang merupakan bekas pekerja kepada pempengaruh terbabit mendakwa gaji bulannya sebelum berhenti berkhidmat juga turut tertunggak.

Bekas pekerja berkenaan juga dikatakan diarahkan untuk tetap bekerja ketika berada di dalam keadaan berpantang dipercayai selepas melahirkan anak dengan imbalan gaji namun sayangnya janji itu masih belum dikotakan hingga kini.

“Saya bekas pekerja yang masih menunggu gaji. Bagi gaji bulan Januari, semua belum terima. Saya sudah penatlah bersabar sebab masa berpantang dahulu pun suruh kerja dengan alasan mereka bayar gaji. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tak bayar.

“Dia juga kaki maki pekerja kalau apa yang dirancangkan tak menjadi. Terutamanya kakitangan pemasaran yang berhempas pulas ikut strategi dia. Selepas itu, selalu minta maaf semula dengan ayat ‘Dika orang biasa atau ‘Dika pun ada emosi’.” Ujar pekerja lain.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa tidak senang dengan sikap majikan yang gemar menayang ‘gaya hidup mewah’ di media sosial namun tergamak mengabaikan hak pekerja.

Baca juga: Bosan asyik jadi penunggang agama, Azhan Rani nak cuba watak lain pula