‘Jumpa duit syiling di kedai, staf sakit kepala’ – Amir cuba untuk husnuzon, tapi makin pelik

Oleh MAISARAH AISYA

Biasalah adat meniaga, tak semua orang suka melihat satu perniagaan itu berjaya, akibat hasad dengki maka pertolongan daripada bomoh juga menjadi pilihan.

Mereka ini seolah-olah tidak percaya akan rezeki daripada Allah SWT, sedangkan perniagaan bukannya sama tapi iri hati melihat kedai orang lain penuh.

Pelawak dan pelakon Amir Raja Lawak berkongsi kedainya di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sering ada duit syiling tercicir di atas lantai.

Lebih pelik siapa sahaja yang menyentuh duit tersebut akan mula sakit kepala kongsinya dalam satu hantaran di TikTok.

Memetik Mstar, Amir mengakui sering merasa mengantuk jika ingin membuat siaran langsung bagi mempromosi produknya.

“Saya selalu promosikan gerai saya di media sosial dan selalu akan tiba-tiba memgantuk macam tak bagi saya promosikan gerai.

“Kalau tidak buat siaran langsung saya okay saja, tak rasa mengantuk teramat sangat,” ujarnya seperti dipetik Mstar.

Malah ada pelanggan yang mengadu kedainya tutup apabila mereka berkunjung sedangkan kedai itu beroperasi seperti biasa.

“Staf saya kerap demam, sakit kepala dan badan. Beberapa pelanggan yang mahu ke gerai saya juga beritahu gerai saya tutup sedangkan buka seperti biasa.

“Sekarang tengah ikhtiar juga secara perlahan sebab tak nak melarat. Saya pun tak nak menuduh sesiapa kerana tiada masalah dengan peniaga di sini.

“Tapi setakat ini saya jalankan saja perniagaan saya seperti biasa, apa yang jadi kemudian hari saya berserah kepada Allah SWT,” tambahnya.

Baca juga: “Masa berpantang pun suruh kerja” – Pempengaruh ‘old money’ didakwa tak bayar gaji pekerja