Logo Perodua bakal terpampang di jersi Manchester United?

Oleh ROSLAN ZAMAN

Siapa yang tidak kenal kelab bola sepak paling terkenal di dunia, Manchester United yang berpangkalan di England. Jumlah peminat kelab English Premier League (EPL) di Malaysia ini pun boleh tahan ramainya di Malaysia.

Hari ini Perodua mengesahkan ada menerima tawaran dari Manchester United untuk menaja kelab itu. Maknanya logo Perodua bakal terpampang di jersi baju kelab berpengaruh itu jika syarikat itu setuju dengan tawarannya.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludi seperti dipetik laporan Kosmo!.

Memetik dari laporan Kosmo!, beliau mengesahkan bahawa pihaknya menerima tawaran rasmi daripada United untuk meletakkan logo Perodua pada salah satu baju kelab berkenaan.

“Baru-baru ini, saya menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada boleh memaparkan logo Perodua pada baju mereka dan sama ada kami berminat untuk menaja mereka.

“Saya biasanya tidak berkongsi perkara seperti ini secara terbuka, tetapi secara peribadi, saya sebenarnya penyokong Arsenal. 

“Kalau saya buat begitu, rasa macam tak adil untuk Arsenal,” katanya seperti dipetik Kosmo!

“Kami akan mempertimbangkannya, terutama untuk bola sepak di Malaysia. Apapun, kita sentiasa melihat peluang itu dan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan agar ia memberi kebaikan dan tidak merugikan mana-mana pihak. 

“Saya berasal dari Johor dan jika saya sokong JDT (Johor Darul Ta’zim), mungkin saya akan kehilangan sokongan pelanggan di Selangor atau Kelantan dan kami perlu berhati-hati siapa yang kami sokong serta taja,” katanya lagi.

Baca: Ahmad Awang bidas kenyataan Mufti Pahang