Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim tampil menafikan dakwaan bahawa dirinya dipaksa berkahwin ekoran raut wajah ketika majlis pernikahannya berlangsung dilihat seolah-seolah ‘tidak rela’.
Selebriti berusia 31 tahun terbabit menjelaskan bahawa raut wajahnya seperti itu mungkin sebab dirinya sedang berfikir mengenai tanggungjawab yang semakin berat perlu dipikul selepas bergelar suami orang.
Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim juga resah memikirkan cara untuk bersikap adil di antara isteri baru dinikahinya dan ibunya yang kini sedang uzur di kampung.
Perkara itu dijelaskan oleh Fikry ketika mengacarakan program Melodi bersama Ain Edruce pada malam Khamis yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok.
“Ada yang cakap muka saya macam tak rela, kena paksa kahwin. Itu salah! Ini bukan saya buat drama TV3. Mungkin pada ketika itu, adalah beberapa perkara yang saya fikir. Termasuk bagaimana menjadi seorang suami dan anak.
“Tanggungjawab sangat besar dan kena adil. Sekarang ini saya ada seorang ibu dan seorang isteri. Adil itu bukanlah sama rata tetapi meletakkan hak pada tempatnya,” katanya dalam penjelasan itu.
Dalam perkongsian yang sama, Fikry juga mengakui tidak berniat untuk merahsiakan majlis perkahwinannya yang berlangsung di Jitra, Kedah pada Rabu lalu itu daripada pengetahuan umum.
Sebaliknya, selebriti yang mula meraih populariti selepas menyertai rancangan realiti Lawak Solo pada tahun 2016 itu enggan menghebahkan perkara belum pasti kepada peminat.
“Saya percaya benda yang baik, selagi tidak pasti jangan kongsikan. Jadi saya tunggu sampai selesai, Alhamdulillah perkara yang baik.” Ujar pelakon kelahiran Jitra, Kedah itu dalam program Melodi.
Fikry juga sempat merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada isterinya, Khalizah Alihan yang kini sedang berada di Kedah untuk menjaga ibunya dengan ehsannya sendiri.
Terdahulu, Fikry dan Khalizah yang berasal dari Sarawak selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan berlangsung di sebuah masjid di Jitra, Kedah.
Baca juga: ‘Jumpa duit syiling di kedai, staf sakit kepala’ – Amir cuba untuk husnuzon, tapi makin pelik