Rakaman Syafiq Kyle mohon restu bapa sebelum akad nikah buat peminat sayu, yakin jadi suami baik

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan detik yang penuh emosi sebelum pasangan pelakon, Syafiq Kyle dan Mimi Lana disatukan menjadi suami isteri di dalam satu majlis tertutup di Taiping, Perak.

Menerusi rakaman berdurasi 35 saat itu, Syafiq Kyle dilihat sedang memohon restu dari bapa tersayang iaitu Abdul Razak Husin sebelum melangkah ke fasa baharu di dalam hidupnya sebagai seorang suami.

Syafiq yang mengenakan persalinan baju Melayu berona putih itu tampak mengusap wajah bapanya yang berusia 61 tahun terbabit beberapa kali berikutan tidak dapat lagi menahan sebak ketika anaknya meminta restu.

Pelakon berusia 33 tahun itu juga turut berusaha untuk memujuk dengan memegang tangan dan mengucup dahi bapanya yang duduk di atas kerusi roda walaupun dirinya jua sedang menahan kesedihan.

Rakaman itu kemudian dikongsikan oleh penyampai radio, Radin Amir Affendy yang kagum dengan kasih sayang keluarga pelakon berkenaan menerusi satu hantaran di platform TikTok.

“Kasih yang tak akan terpisah. Restu seorang ayah. Detik sebelum Syafiq Kyle akad nikah bersama Mimi Lana. Sebuah keluarga yang sangat indah,” kata Radin dalam ruangan kapsyen hantaran itu.

@radinamiraffendy

Kasih yang takkan terpisah 🤍 restu sorang ayah… Momen sebelum @Syafiq Kyle akad nikah bersama @Missmimilana .. Such a lovely family 🫰🏼 #syafiqkyle #SKML #takhensemtapimanisnyaada #kubilangjangandinjangan

♬ tak akan pernah jauh – bigboss

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata peminat meluahkan rasa kagum melihat cara Syafiq melayan bapanya yang merupakan penghidap penyakit angin ahmar sejak 2018 itu.

Ramai juga pengguna TikTok merasa cukup yakin bahawa pelakon terbabit mampu menjaga isterinya dengan baik selepas melihat sikap penyayang lelaki itu melalui caranya menyantuni sang bapa.

Syafiq Kyle dan Mimi Lana sah menjadi suami isteri pada Jumaat lalu.

“Sudah tahu cara dia layan Mimi Lana nanti. Anak yang melayan ibu bapanya dengan baik, akan melayan isteri dan anaknya dengan baik juga,” kata seorang pengguna yang terharu melihat sikap Syafiq.

“Alhamdulillah, patutlah kebelakangan ini rezeki Syafiq Kyle berlakon mencurah-curah. Anak yang baik. Semoga perkahwinannya dengan Mimi Lana berpanjangan hingga ke Jannah. Amin Ya Allah, Ya Mujib.” Kongsi pengguna lain.

Terdahulu, teki-teki hubungan Syafiq dengan pemilik nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, berakhir selepas pasangan itu selamat disatukan sebagai suami isteri pada petang Jumaat.

Persis merpati dua sejoli, pasangan berkenaan disatukan di dalam satu majlis tertutup di kampung halaman Mimi di Taiping, Perak yang hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat handai.

Baca juga: Hisyam Hamid tepis gosip bercinta dengan penerbit, anggap diri belum terdesak