Imegresen tunjuk data makin ramai lelaki Kelantan pilih wanita Thailand untuk dijadikan isteri

Oleh KIM SYAZIE

Kelantan merekodkan peningkatan jumlah permohonan perkahwinan membabitkan lelaki dari negeri itu dengan wanita dari Thailand.

Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, jumlah permohonan pas pasangan suami isteri untuk bernikah dengan wanita Thailand meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pada tahun lalu sahaja, jabatan berkenaan merekodkan sebanyak 308 permohonan dari lelaki negeri itu untuk berkahwin dengan wanita negara jiran.

Bagaimanapun Pengarah JIM) Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2023 dengan 341 permohonan, namun meningkat daripada 2022 iaitu 175 permohonan.

“Selain itu, kita juga menerima permohonan lelaki dari Thailand yang mahu mendirikan rumah tangga dengan wanita Kelantan, namun jumlahnya tidak setinggi lelaki tempatan menikahi wanita Thailand.

“Sebanyak 78 permohonan permohonan pas pasangan suami isteri daripada lelaki Thailand pada tahun lalu, 57 permohonan pada 2023 dan 31 permohonan untuk 2022,” katanya kepada media.

Mohamed Yusoff Khan memberitahu, selain itu, pihaknya turut mendapati, jejaka Pakistan juga ramai yang mengemukakan permohonan pas pasangan suami isteri untuk bernikah dengan wanita tempatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, seramai 34 lelaki Pakistan membuat permohonan untuk berkahwin di negara ini pada tahun lalu.

“Kita dapati 27 permohonan pas pasangan suami isteri dimohon oleh warganegara Pakistan pada 2023 manakala 31 permohonan untuk 2022.

“Bukan hanya sekadar lelaki Pakistan yang mahu berkahwin dengan wanita tempatan, tetapi lelaki Kelantan juga ada mengemukakan permohonan untuk bernikah dengan wanita Pakistan,” ujarnya.

Mohamed Yusoff Khan berkata, sebanyak sembilan permohonan pas pasangan suami isteri diterima daripada lelaki tempatan untuk melangsungkan perkahwinan dengan wanita Pakistan pada tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, hanya lima permohonan kategori sama dicatatkan pada 2023 dan 10 permohonan untuk 2022.

“Berdasarkan statistik itu, secara kasarnya kita dapat lihat jumlah warganegara tempatan berkahwin dengan warga asing di Kelantan dilihat semakin meningkat.

“Siasatan mendapati, kemungkinan mereka yang mahu berkahwin dengan warga asing ini dikenalkan oleh kenalan, saudara-mara atau di tempat kerja. Kita juga tidak menolak kemungkinan perkenalan mereka berlaku menerusi media sosial,” katanya

Baca juga: Sotong goreng tepung rangup walaupun dah sejuk, tukang masak kongsi cara buat bancuhan