Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Mohamad Fahmi Hafiz yang kritikal selepas tercekik gula-gula kenyal atau ‘gummy’ dilaporkan meninggal dunia kira-kira pada jam 11 malam semalam.
Bapa kepada kanak-kanak itu iaitu Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri berkata bahawa dirinya dan isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, sempat melawat sebelum anak sulung mereka menghembuskan nafas terakhirnya.
Walaupun tidak mampu menyembunyikan kesedihannya ketika menceritakan detik-detik akhir bersama anaknya, bapa berusia 35 tahun itu bagaimanapun telah menerima pemergian kanak-kanak berkenaan dengan reda.
Difahamkan, kanak-kanak yang disifatkan ceria itu ‘pergi’ dengan tenang seolah-olah sedang tidur selepas ibunya membisikkan dua kalimah syahadah di telinganya, lapor Harian Metro.
“Tiada lagi anak yang ceria, Fahmi hembus nafas terakhir di sisi ibu dan baba. Kami beritahu reda jika dia hendak pergi dan dia pergi dengan tenang selepas isteri saya bisik kalimah syahadah di telinganya.
“Saya reda walaupun secepat ini dia ‘pergi’. Sekurang-kurangnya, dia tidak lagi menanggung kesakitan. Ada air mata bertakung di matanya, dia pergi di dalam keadaan cukup tenang seolah-olah sedang tidur.
“Adik, Nufa Fakhira (4 tahun) dan neneknya juga datang melawat Mohamad Fahmi petang tadi (petang semalam). Nufa menangis panggil abangnya dan mengajak mandi kolam bersama,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mohamad Fakhruddin berkata sedemikian semalam ketika mengiringi jenazah anaknya ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat yang dijalankan kira-kira pada pukul 9 pagi ini.
Selepas urusan bedah siasat berkenaan selesai, Mohamad Fakhruddin memaklumkan bahawa jenazah Mohamad Fahmi dijangka akan dibawa pulang ke di Permatang Binjai, Penaga, Pulau Pinang untuk dikebumikan.
“Tangan yang menjaganya sejak kecil akan mandikan dan kafankannya. Saya tidak pasti bagaimanakah akan saya lakukan nanti. Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial tentang keadaan seorang kanak-kanak yang kritikal di hospital dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal dibeli di luar kawasan Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (Kafa), Sungai Dua, Butterworth.
Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa dikatakan rebah ketika hendak ke tandas sebelum gurunya menghubungi ambulans dalam usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.
Ketika pegawai kesihatan tiba, mereka berjaya mengorek dan membuang gula-gula berkenaan dari mulut kanak-kanak itu bagaimanapun mangsa masih tidak sedarkan diri.
Baca juga: Budak 10 tahun kritikal gara-gara tercekik ‘gummy’ mata, belum tunjuk maklum balas