Ramai tidak ada kesedaran mengenai penyakit kusta, sedangkan kesannya kalau dibiarkan boleh menyebabkan kecacatan.
Penyakit kusta atau Hansen’s disease terjadi akibat jangkitan bakteria mycobacterium leprae.
Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan kerosakan saraf serta lesi kulit yang progresif.
Penyakit kusta juga boleh merebak melalui titisan pernafasan (droplet) daripada individu yang dijangkiti, terutamanya melalui batuk atau bersin lapor Harian Metro.
Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal dan Profesor Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkongsi dengan lebih lanjut mengenainya.
“Kerosakan saraf menyebabkan kehilangan deria rasa, terutama pada tangan dan kaki. Ia juga boleh menyebabkan lumpuh otot, lalu mengakibatkan kelemahan atau kecacatan kekal.
“Malah, penyakit kusta boleh menyebabkan deformasi fizikal contohnya, jari atau hidung menjadi cacat akibat kerosakan tisu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Meskipun kes kusta berkurangan, Dr Zamberi menegaskan bahawa penyakit ini masih wujud dan boleh muncul semula.
Ini adalah disebabkan beberapa faktor termasuk jangkitan ini mempunyai tempoh inkubasi panjang.
“Kusta boleh mengambil masa bertahun-tahun antara lima sehingga 20 tahun untuk gejala muncul, menyebabkan kes baharu dikesan selepas jangka masa yang lama.
“Selain itu, penyakit ini juga boleh terjadi di kawasan endemik yang mana jika terdapat individu yang masih dijangkiti tetapi tidak dirawat, mereka boleh menyebarkan penyakit secara senyap.
“Malah, akses yang terhad kepada rawatan kesihatan di kawasan luar bandar boleh menyebabkan kes tidak dikesan lebih awal,” katanya.
Media melaporkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia Isnin lalu.
Remaja tersebut dikatakan meninggal dunia selepas seminggu demam akibat dijangkiti kusta, manakala lapan individu lagi sedang menerima rawatan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Baca juga: Budak tercekik gummy ‘mata’ meninggal dunia lepas ibu bapa cakap reda, bisik syahadah