Tak logik budak 19 bulan boleh sampai ke sungai cepat, polis siasat ibu bapa Hud Aryan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak polis akan merakam keterangan keluarga termasuk kedua ibu bapa Hud Aryan Mohd Nor Hafifi hari ini selepas kanak-kanak berusia 19 bulan itu ditemui tidak bernyawa di tebing sungai di Kampung Kerila, Kuala Krai, Kelantan, semalam.

Hal ini kerana polis Kelantan menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian kanak-kanak berkenaan berikutan dibimbangi terdapatnya unsur kecuaian walaupun tiada kesan jenayah mahupun kecederaan ditemukan.

Persoalan mengenai bagaimanakah kanak-kanak berusia 19 bulan berkenaan sampai ke sungai di dalam tempoh yang singkat turut menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata bahawa Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah sudah diarahkan pihaknya untuk menjalankan siasatan lanjut, lapor Berita Harian.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau kesan jenayah. Namun saya arahkan Ketua Polis Daerah untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Ini berdasarkan tular (perbincangan) di TikTok yang mengatakan tidak logik untuk kanak-kanak berusia 19 bulan itu boleh sampai ke sungai dalam beberapa minit sahaja.

“Justeru itu, polis akan merakamkan keterangan keluarga termasuk kedua ibu bapa mangsa hari ini. Ini kerana kita bimbang ada unsur kecuaian,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Walau bagaimanapun, Mohd Yusoff turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kertas siasatan dibuka setakat ini dan kes kematian Hud Aryan juga telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Terdahulu, Hud Aryan dilaporkan telah meninggal dunia selepas mayat kanak-kanak malang terbabit ditemukan tersangkut pada pokok di tebing sungai di Kampung Kerila pada jam 4.15 petang, semalam.

Jasad Hud Aryan ditemukan di kawasan sungai kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kediaman neneknya dalam masa 45 jam daripada tempoh kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang.

Baca juga: Terjawab akhirnya kenapa awal tahun pun beras tempatan tak ada di pasar raya