Seorang wanita tidak menyangka akan dikenakan bayaran sebanyak RM7 hanya untuk segelas air suam dipesannya di sebuah restoran yang menghidangkan makanan Timur Tengah di Kuala Lumpur.
Menurut wanita itu, pihak restoran sudah memaklumkan bahawa air suam yang dipesannya tidak disediakan secara percuma sebaliknya pelanggan harus membuat bayaran seperti tertera di dalam resit.
Walau bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila pihak restoran mengenakan caj sebanyak RM7 hanya untuk segelas air suam sehingga menyifatkannya sebagai rompakan di siang hari atau secara terang-terangan.
Kejadian itu kemudian dikongsikan oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Threads miliknya untuk bertanyakan pendapat orang ramai mengenai perkara tersebut.
“Apakah pengalaman ‘rompakan di siang hari’ untuk anda semua? Bagi saya adalah ketika dikenakan caj RM7 untuk segelas air suam di restoran makanan timur tengah di sebuah pusat beli-belah eksklusif di Bukit Bintang.
“Kesilapan saya adalah tidak bertanya ataupun menyemak harga sebelum membuat pesanan. Mereka ada menyebut ‘ada bayaran’ dikenakan apabila saya memesan air suam. Saya terfikir berapa sangatlah harga air suam.
“Nah, ambil kau. Harganya RM7.00!,” kongsi wanita itu di dalam hantaran tersebut bersama sekeping gambar yang memaparkan resit diterima daripada restoran berkenaan pada minggu lalu.
Wanita itu tidak menafikan bahawa hidangan di restoran tersebut sememangnya enak namun caj tidak masuk akal yang dikenakan itu membuatkan pengalaman kulinarinya malah mengecewakan.
Pelanggan terbabit turut mendedahkan satu lagi caj tidak masuk akal dikenakan oleh restoran itu iaitu potongan cili padi yang hampir sahaja dipesannya sebelum mengambil keputusan untuk membatalkan niatnya.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna tidak bersetuju dengan tindakan restoran mengenakan caj begitu tinggi hanya untuk pesanan air suam selain menyifatkannya sebagai berlebihan.
Ramai juga pengguna berkongsi pandangan yang sama bahawa pelanggan tersebut perlu melaporkan perkara itu kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Menyediakan air percuma sudah menjadi amalan biasa di restoran terletak di lokasi berprestij. Mengenakan caj untuknya malah memberi persepsi yang buruk kepada pelanggan. Jangan jadi penghisap darah!,” kata seorang pengguna.
“Kalau tengok lokasi itu memang mahal. Saya bersangka baik sahaja bahawa air suam itu adalah minuman mineral yang dipanaskan menggunakan teknologi laser untuk mendapatkan suhu spesifik khas buat pelanggan mereka.” Seloroh pengguna lain.