Kes kematian seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac tahun lalu mengemparkan negara apabila suspek terdiri daripada kalangan remaja.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Tawau memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes mereka lapor Harian Metro.
“Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh di bawah Seksyen 302 dan memanggil kesemua tertuduh untuk membela diri,” katanya.
Duncan menetapkan prosiding bela diri itu pada 10 hingga 14 Mac ini.
Kesemua 13 pelajar itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau pada 13 Ogos tahun lalu atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie.
Pembunuhan dilaporkan berlaku di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.
Mereka ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Baca juga: Video budak sekolah dipimpin rakan buat netizen sebak, ibu dedah keadaan sebenar anak