Boleh pula sesuka hati ‘pancing’ parcel orang! Dua lelaki terakam CCTV curi barang

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang ramai yang memilih beli barang secara dalam talian untuk memudahkan urusan bagi mereka yang sibuk bekerja.

Namun ada pula pihak mengambil kesempatan dengan pergi rumah ke rumah untuk mencuri barang dihantar atau parcel pemilik rumah.

Terlihat dua kelibat lelaki menaiki motosikal dalam sebuah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), video tersebut tular di media sosial beberapa hari lepas.

Menerusi video berdurasi 64 saat itu, dua lelaki dilihat menghampiri rumah pemilik CCTV dengan menaiki sebuah motosikal.

Lelaki pertama dilihat duduk sahaja di atas motosikal manakala seorang lagi membawa sebatang besi menghampiri pagar rumah berkenaan.

Kemudian lelaki yang memegang besi itu dan ‘memancing’ dua parcel dari dalam pagar rumah tersebut.

Kedua lelaki itu hanya beredar selepas terdengar suara penduduk yang berada dalam rumah itu sendiri.

Rata-rata netizen kesal dengan dua lelaki tersebut malah mengkritik kenapa perlu mencuri sedangkan keduanya terlihat sihat.

“Motosikal je harap lawa tapi perang hampeh, cukup sifat tapi tak kerja bila kena tangkap jangan tiba-tiba guna kad OKU pula.

“Kalau rumah teres yang tak berpagar macam ni, lebih baik ambil terus dengan penghantar barang atau ambil dekat hub terus, berpagar pun parcel hilang.

“Didiklah anak-anak dari kecil jangan ambil kalau bukan hak kita, di dunia mungkin terlepas tapi di sana,” antara komen netizen.

Baca juga: Warga Indonesia ada yang sudah berpuasa awal tak ikut tarikh ditetapkan pemerintah