Selepas pelbagai usaha kerajaan mencari jalan memastikan rakyat mendapat bekalan beras putih tempatan, akhirnya ia kini sudah mula diedarkan di pasar raya.
Buat peringkat pertama ini, ia diedarkan di Terengganu dahulu sebelum diedar ke negeri-negeri lain.
Pengarah Negeri Kawalselia Padi dan Beras Terengganu, Ahmad Suffian Zulkipeli berkata, setakat ini hanya Q Mart menjadi peruncit pertama yang menerima bekalan tersebut
“Q Mart telah membuat pesanan belian (PO) dan proses penghantaran beras itu telah bermula pada hari ini manakala peruncit lain seperti pasar raya Giant dan Mydin masih dalam proses permohonan.
“Pemborong dari luar seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mengambil masa sedikit untuk penghantaran kerana ada yang masih bercuti.
“Namun, kami yakin lebih banyak pesanan akan diterima dalam masa terdekat,” katanya memetik Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, pemantauan rapi akan dilakukan bagi memastikan bekalan 24 juta pek beras subsidi sampai ke seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk di Terengganu.
“(Pada Ahad) penghantaran beras subsidi dari Jasmine sudah tiba di Terengganu, manakala pada Selasa ini dijangka penghantaran daripada Cap Rambutan dan Cap Saga pula.
“Bekalan beras ini akan diedarkan ke pasar raya dan kedai runcit secara berperingkat,” katanya lagi seperti dilapor.
Menurut Ahmad Suffian, pihaknya juga memastikan setiap penghantaran mematuhi pesanan dan beras dijual pada harga kawalan RM26 sebungkus.
“Peniaga perlu memastikan harga beras subsidi ini dipamerkan dengan jelas. Kami akan sentiasa memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522),” ujarnya.
Baca juga: Kosongkan jadual kerja, Ummi Nazeera luangkan bulan Ramadan bersama keluarga