Sah ke puasa kalau mandi wajib selepas azan Subuh? Ini jawapan Ustaz Azhar Idrus

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus merungkai persoalan mengenai hukum berpuasa sekiranya sah atau sebaliknya jika mandi wajib dilakukan selepas azan Subuh susulan ditanya mengenainya di dalam satu sesi ceramah.

Hal ini kerana adanya situasi melibatkan pasangan suami isteri yang tidak sempat bangun tidur untuk mandi wajib dan juga bersahur sebelum berkumandang azan Subuh selepas bersama pada malam sebelumnya.

Menurut pendakwah yang lebih mesra disapa sebagai UAI itu, hukum berpuasa untuk seseorang yang belum mandi wajib tetaplah sah walau baru bangun tidur dan terlepas waktu sahur ataupun azan Subuh.

Sedutan rakaman ceramah yang mana Ustaz Azhar Idrus memberikan ulasan lengkap berhubung permasalahan ini kemudian dikongsikan menerusi satu hantaran tular di laman TikTok.

“Tidak kiralah air mani keluar secara mimpi atau dengan pasangan yang halal, kemudian bangun selepas masuk waktu Subuh. Tetapi belum mandi wajib, puasanya tetap dikira sebagai sah.

“Sebagai contoh, sepasang suami dan isteri bersetubuh pada malam hari sebelumnya dan mengeluarkan hadas besar. Kemudian terbangun tidur pada pukul 6.30 pagi iaitu sudah masuk waktu Subuh.

“Selepas itu, baru nak mandi wajib. Tetap sah puasa sebab terkeluarnya air mani adalah salah satu perkara yang tidak membatalkan puasa,” kata Ustaz Azhar dalam rakaman berdurasi satu minit 48 saat itu.

Dalam perkongsian yang sama, penceramah berkenaan turut memberi peringatan bahawa puasa seseorang itu batal sekiranya air mani tersebut dikeluarkan dengan sengaja di siang hari.

Ustaz Azhar juga berkongsi salah satu amalan yang boleh memberikan pahala sunat di bulan Ramadan adalah dengan melakukan perbuatan mandi wajib sebelum masuknya waktu Subuh.

“Siang hari di bulan Ramadan, tiba-tiba terkeluar air mani. Puasanya tidak batal. Tetapi yang batalnya ialah apabila seseorang itu sengaja mengeluarkan mani ketika sedang berpuasa.” Ujarnya.

Baca juga: Sudah 2 tahun berhenti buat ‘content’ menyerupai wanita, Otam Blurr pilih bakar semua pakaian