Solat tarawih hanya berlaku sekali sahaja dalam kalendar Islam, dan kebanyakan memilih untuk menambah pahala dengan berjemaah di masjid atau surau berdekatan.
Namun di Indonesia, masjid ini menjadi tumpuan kerana melakukan solat tarawih 23 rakaat dalam masa cuma 10 minit sahaja.
Dalam satu video dikongsikan akaun Instragram pemalang.hits, ia memaparkan jemaah bersolat dalam keadaan yang sangat laju.
Menurut laman berita Jatim Times, kejadian dikatakan berlaku di Sekolah Pondok Mambaul Hikam, Kota Blitar, wilayah Jawa Timur.
“Tradisi ini sudah ada sejak tahun 1907. Di sini, tarawih 23 rakaat hanya berlangsung antara 7 hingga 10 minit,” kongsi pengguna Instagram tersebut.
Penyelia Pondok Pesantren Mambaul Hikam, KH Dliya’uddin Azzamzami Zubaidi berkata, solat tarawih kilat itu dilakukan selepas melihat penat lelah orang bekerja di siang hari.
“Dahulu, ramai orang bekerja dari pagi sampai petang. Ketika malam, mereka tidak larat untuk menunaikan solat tarawih dengan rakaat lama.
“Akhirnya, pengasas dahulu mencari penyelesaian dengan melakukan solat tarawih dengan cepat.
“Kami membaca surah Al Fatihah dengan lengkap, membaca surah-surah dan ada tamakninah,” ujarnya.
Malah ada yang sanggup memandu jauh demi bersolat di masjid berkenaan namun kebanyakan wargamaya tidak bersetuju akan hal itu.
“Ini solat atau lumba lari, bukan ke lebih elok dilakukan secara santai.
“Dapat apa ni? Lebih kepada kepenatan sahaja.
“Saya pernah baca tak boleh solat macam burung belatuk, sekurangnya kena ada tomakninah, iaitu sempat membaca ‘subhanallah’,” antara komen wargamaya.
Baca juga: Sah ke puasa kalau mandi wajib selepas azan Subuh? Ini jawapan Ustaz Azhar Idrus