82.4 peratus kawasan penduduk di Malaysia telah mendapat capaian 5G dengan 56.18 peratus pengguna telah menggunakan 5G, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau memberikan ucaptama di majlis perasmian Pavilion Malaysia di Kongres Mobil Sedunia 2025 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol 3 Mac semalam.
Acara tersebut turut dihadiri oleh ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Chee Hong Leong, penasihat kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Datuk Seri Annuar Zaini dan Datuk Dr Anderson Tiong, pengurus Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak.

(Mohamad Fauzi bersama Datuk Seri Chee Hong Leong (kiri) dan Tan Sri Annuar Zaini (kanan) di majlis pelancaran Pavilion Malaysia di Kongres Mobil Sedunia di Barcelona, Sepanyol)
Menurut Mohamad Fauzi, melalui inisiatif strategik seperti Pelan Infrastruktur Digital Nasional atau JENDELA, yang memperluaskan ketersambungan ke seluruh negara, dan kejayaan pelancaran 5G, kerajaan Malaysia telah mengukuhkan industri, memperkasakan komuniti dan meletakkan asas untuk kemajuan serantau.
“Di bawah inisiatif JENDELA, sehingga 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis kini mempunyai akses kepada Internet berkelajuan tinggi dan sambungan gentian. Ini melepasi sasaran awal kami sebanyak 9 juta menjelang 2025.
“Hasil daripada pencapaian ini, kelajuan jalur lebar mudah alih di negara ini telah mencapai median 105.36 Mbps, manakala liputan Internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 98.66% pada suku ke empat 2024, terus meningkat ke arah liputan penuh menjelang 2025,” katanya.
Mohamad juga memaklumkan, penubuhan Pusat Pengedaran Maklumat Kebangsaan atau NADI pula turut memberdayakan masyarakat menerusi inisiatif Khidmat Pintar yang mempunyai lima fokus iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hidup, kesejahteraan, kesedaran dan usaha kerajaan.
Di peringkat ASEAN pula, katanya, inisiatif 6 Way Multi – Operator Core Network membolehkan kerjasama dan perkongsian sumber yang membolehkan penyedia khidmat rangkaian mobil (MNO) dan kerajaan membentuk aras baharu dalam memastikan kesalinghubungan.
“Kerjasama SKMM dengan MNO menghasilkan Garis Panduan Perkongsian Infrastruktur dan Rangkaian yang membolehkan pihak berkenaan merangka perjanjian dua dan pelbagai hala,”katanya.
Beliau turut menjelaskan bagaimana sektor penjagaan kesihatan dimajukan menerusi konsep bandaraya pintar 5G.
Turut dibincangkan ialah pendidikan yang berpandukan kecerdasan buatan (AI) dan pertanian berpacukan teknologi 5G.
“Teknologi satelit pula memainkan peranan penting dalam memberikan ketersambungan ke kawasan terpencil,” katanya.
Perkembangan di dalam IoT, komunikasi Direct-to-Device (D2D),dan Earth Observation (EO) akan memperkukuhkan lagi infrastruktur ketersambungan Malaysia untuk memacu ekonomi digital dan perubahan digital seluruh negara, tambah beliau.
KESUNGGUHAN KERAJAAN
Penyertaan Malaysia dalam Mobile World Congress 2025 (MWC 2025) ini terus menyerlahkan komitmen negara dalam peranan memperkasa agenda pendigitalan serta mempamerkan kemajuan teknologi dan wawasan Malaysia untuk masa depan.
Menurut Mohammad Fauzi, kewujudan Pavilion Malaysia ini dizahirkan sebagai bukti komitmen Malaysia dalam mempamerkan kemajuan teknologi negara dan menetapkan pintu masuk kepada inovasi di kalangan negara-negara ASEAN.
“Tahun ini mencerminkan cita-cita dan komitmen teguh kami untuk memperjuangkan kemajuan pesat dalam inovasi dan transformasi teknologi. Ia menandakan peranan Malaysia sebagai jambatan yang menghubungkan inovasi global—hab di mana idea, teknologi dan perkongsian bersatu untuk membentuk masa depan.
“Malaysia kini sedang membina ekosistem infrastruktur digital yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan rakan kongsi serantau kami. Dengan mengutamakan kemajuan dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan bandar pintar, kami meningkatkan kualiti hidup dan mentakrifkan semula pengalaman pengguna,” katanya.
Tambah beliau, visi kementerian jelas untuk memulakan kemajuan transformatif yang memartabatkan negara dan mengukuhkan kedudukan sebagai hab bagi kecemerlangan teknologi.