Satu rakaman memaparkan kelibat penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang hadir ke Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada pagi ini tular platform media sosial TikTok, sebentar tadi.
Bella dipercayai hadir untuk memberikan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung rayuan terhadap sabitan dan hukuman dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Menerusi rakaman berdurasi 12 saat itu, penyanyi berusia 31 tahun terbabit dilihat melambaikan tangan ke arah lensa kamera sebelum berjalan bersama beberapa individu menuju ke pintu masuk mahkamah.
Rakaman tersebut dikongsikan di platform TikTok yang mana tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata peminat terharu dengan sokongan Bella terhadap bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu.
Ramai juga pengguna tampil mengirimkan doa kepada Syed Saddiq supaya segala urusan yang membabitkan perbicaraan kes bekas Menteri Belia dan Sukan itu dipermudahkan oleh Allah SWT.
“Boleh nampak Bella ini perempuan yang boleh terima baik dan buruk lelaki yang dia sayang. Syed Saddiq ada masalah tetapi Bella beri sokongan dan teman di mahkamah. Semoga urusan mereka dipermudahkan dan selesai dengan baik,” kata seorang pengguna.
“Ya Allah, terimalah doa kami. Bebaskan YB Syed Saddiq daripada sebarang dakwaan dan pertuduhan. Kasihanilah hamba-hambaMu yang menunggu kasih sayangnya. Amin.” Doa pengguna lain.
Selain Bella, kira-kira 30 penyokong Syed Saddiq juga berhimpun di pekarangan Istana Kehakiman bagi mengikuti proses rayuan terhadap sabitan dan hukuman empat tuduhan berkaitan dana ARMADA.
Sekadar info, hari ini prosiding pendengaran rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang akan didengar oleh tiga panel hakim.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq pada 9 November 2023 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta.
Manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram, masing-masing dijatuh hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta malah ahli politik itu juga boleh dipenjara selama empat tahun jika gagal membuat pembayaran.
Hakim Azhar bagaimanapun membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Baca juga: Rakyat Malaysia bergaji kurang RM5,000 paling ramai buat hutang ‘pay later’