Tiada keputusan akan dibuat hari ini berhubung rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan serta hukuman atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Perkara itu dimaklumkan Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam prosiding rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta yang dijatuhkan ke atasnya.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, menyatakan demikian ketika prosiding bermula pada jam 12.15 tengah hari, lapor Sinar Harian.
“Hari ini kita dengar rayuan perayu, Syed Saddiq terlebih dahulu dan akan berhenti seketika untuk rehat tengah hari. Esok, kita boleh sambung dengan hujahan daripada pihak pendakwaan,” kata Hakim Ahmad Zaidi memetik laporan Sinar Harian.
Prosiding hari ini dimulakan dengan hujahan daripada peguam yang mewakili Syed Saddiq iaitu Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhubung rayuan kes melibatkan ahli politik berusia 33 tahun terbabit.
Mahkamah sebelum ini menetapkan bahawa hujahan bagi kedua-dua pihak akan dijalankan selama dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Mac.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman berkenaan pada 9 November 2023 selepas mendapati Syed Saddiq bersalah di atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Difahamkan menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah sebelum ini menolak pembelaan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu sambil menyifatkan keterangannya sebgai ‘tidak masuk akal’.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya.
Syed Saddiq dalam rayuan tersebut memberitahu bahawa hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang apabila mensabitkannya atas empat kes berkenaan selain gagal mengambil kira serta memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan.
Maka perbuatan perayu yang juga anak kelahiran Johor Bahru itu seperti tertera dalam pertuduhan pertama tidak terjumlah kepada kesalahan di bawah seksyen terbabit mengakibatkan hakim terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.
Prosiding rayuan tersebut merupakan peringkat kedua pengadilan yang mana Syed Saddiq masih boleh lagi membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan sekiranya didapati kekal bersalah.
Namun sekiranya panel hakim membenarkan rayuan Syed Saddiq dengan mengetepikan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.
Sekadar info untuk pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada untuk melakukan pecah amanah.
Perbuatan menyalahgunakan dana yang berjumlah RM1 juta tersebut dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020 lalu.
Membawa hukuman maksimum penjara dalamtempoh 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Perbuatan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Syed Saddiq di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syed Saddiq boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama bagi kesalahan ini yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dalam tempoh 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Baca juga: Bella Astillah hadir di Mahkamah Rayuan, beri sokongan untuk kes Syed Saddiq