Pendakwaan sakit tekak, kes Syed Sadiq tangguh

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kes mahkamah rayuan ahli parlimen Muar Syed Saddiq hari ini ditangguhkan kepada 17 April hadapan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan tidak dapat meneruskan hujahan kerana mengalami sakit tekak.

Wan Shaharuddin berkata, banyak fakta yang perlu dihujahkan dan beliau memerlukan antara 45 minit untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesukaran berbicara menyebabkan hasrat berkenaan tidak dapat dilunaskan.

“Saya mohon, mahkamah membenarkan prosiding ini bersambung selepas sambutan Aidilfitri pada bulan hadapan.”

Sebelum ini, Syed Saddiq melalui satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan rayuan berkenaan.

Syed Saddiq sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lalu.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

baca: syed saddiqsyed abdul rahman