Tukang sapu sampah ditawar jadi model selepas kecantikannya ‘viral’

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita penyapu jalan di Thailand menjadi tular selepas gambarnya dirakam oleh seorang jurugambar jalanan terkenal dari Rusia, Semyon Rezchikov, di Jalan Yaowarat, Bangkok.

Seorang wanita yang bekerja sebagai penyapu jalan di Thailand menjadi perhatian ramai selepas gambarnya dirakam oleh seorang jurugambar jalanan terkenal dari Rusia, Semyon Rezchikov.

Kecantikan aslinya dengan cepat menambat hati ramai sehingga ada yang tertanya apakah laman media sosial wanita itu.

Dia kelihatan cantik tanpa solekan di wajah dan kemulusan kulitnya membuatkan ramai setuju jika dia dijadikan seorang model.

Sejak dimuat naik, video tersebut telah meraih lebih 2.1 juta tontonan, lapor AFP.

Agensi itu melaporka , Rezchikov mengambil beberapa gambar kandid wanita itu yang tekun menjalankan tugasnya menyapu jalan di kawasan sibuk tersebut.

Selepas mencetak salah satu gambar menggunakan filem segera, dia mendekatinya dan menyerahkan gambar itu sambil memuji kecantikan wanita itu.

Wanita tersebut pada awalnya kelihatan terkejut dan malu, namun kemudian mengucapkan terima kasih dengan senyuman. Apabila ditanya namanya, dia memperkenalkan diri sebagai “Meen”.

Ada yang menyatakan bahawa dia layak menjadi model, malah ada yang berpendapat dia kelihatan seperti seorang selebriti.

Seorang pengguna menulis: “Dia cantik semula jadi! Tak pelik kalau dia jadi model.”

Lebih menarik, popularitinya turut membuka peluang baru apabila seorang jurusolek terkenal di Thailand menawarkan peluang untuk Meen menjadi model menerusi ruangan komen salah satu videonya.

Sehingga kini, masih belum diketahui sama ada Meen akan menerima tawaran tersebut, namun ramai berharap agar dia mengambil peluang untuk mengembangkan potensi dirinya dalam industri peragaan.

Baca juga: Guna 2 bahan je nak buat telur masin! Ini cara senang, ‘gerenti’ menjadi